IslamiCity.com Apabila membincangkan sebarang aspek peradaban Islam, matlamat yang akhir dan dasar kreatifnya mestilah dilihat sebagai berlandaskan Al-Quran, kitab suci Islam. Budaya Islam sebenarnya “budaya Al-Quran” kerana takrif, struktur, matlamat dan kaedah untuk mencapai matlamat budaya Islam itu semuanya dihasilkan daripada seni penurunan wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam abad ketujuh Masihi. Orang Islam tidaklah sekadar mendapatkan pengetahuan tentang kebenaran hakiki daripada Al-Quran. Perkara yang juga begitu mendesak dan memaksa adalah idea-idea Al-Quran tentang alam semula jadi, tentang manusia dan semua makhluk hidup yang lain, tentang pengetahuan, tentang institusi sosial, politik dan ekonomi yang diperlukan bagi mengendalikan masyarakat yang sihat. Pendeknya, semua ini meliputi setiap cabang pembelajaran dan aktiviti kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa dalam Al-Quran yang terdiri daripada 114 surah, terdapat prinsip-prinsip asas bagi keseluruhan budaya dan peradaban. Tanpa wahyu tentang prinsip-prinsip asal itu, budaya tidak dapat dibangunkan. Tanpa wahyu itu juga, mungkin tidak akan ada agama Islam, negara Islam, falsafah Islam, undang-undang Islam, masyarakat Islam mahupun organisasi politik dan ekonomi Islam. Seni peradaban Islam perlu juga dilihat sebagai pernyataan estetik yang berasaskan Al-Quran. Aspek budaya Islam ini harus dilihat sebagai mempunyai sifat-sifat Al-Quran dari segi asas dan motivasi. Begitulah juga seni peradaban Islam haruslah dilihat sebagai ungkapan estetika yang sama bentuknya dalam pelaksanaannya. Sesungguhnya kesenian Islam adalah kesenian Al-Quran. al-Faruqi. (1992). Atlas Budaya Islam.
QuranExplorer.com
rumah anak yatim
tanah impian

Followers

Thursday, 24 June 2010

Pengambilan Guru Wajar Dilaksanakan Terus Oleh SPP - KSN

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan Khamis menyarankan supaya proses pengambilan guru perlu dipermudahkan dan dilaksanakan secara terus oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Katanya langkah itu wajar kerana pada masa sekarang, semakin ramai siswazah berminat untuk mengikuti kursus Diploma Pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Beliau berkata melalui cadangan itu, calon guru tidak perlu lagi melalui proses lantikan Kementerian Pelajaran sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST).

"Tindakan ini boleh dilaksanakan dahulu dalam opsyen tertentu khususnya kepada calon yang mengikuti kursus Diploma Pendidikan di IPTA," katanya ketika menutup Persidangan Perkhidmatan Pendidikan di sini Khamis.

"Namun, walaupun proses dipermudahkan, aspek kualiti pastinya tidak boleh ditolak ansur, malah dipertingkatkan lagi," katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi SPP Datuk Kusaini Hasbullah.

Mohd Sidek turut menyarankan agar SPP, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mengintegrasikan pangkalan maklumat masing-masing bagi membolehkan ketiga-tiga pihak itu berkongsi maklumat secara pintar.

Misalnya, katanya SPP boleh mengendalikan urusan pengambilan dan perkhidmatan dengan lebih cepat dan cekap kerana maklumat tentang guru-guru pelatih dapat dicapai daripada sistem maklumat Kementerian Pelajaran.

Seterusnya, beliau berkata Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dapat membuat analisa serta mengambil tindakan yang proaktif berasaskan maklumat yang boleh dicapai daripada sistem maklumat di SPP.

Beliau percaya faedah yang dapat dinikmati oleh ketiga-tiga pihak berkenaan amat besar apabila sistem maklumat kesemua agensi yang menguruskan hal ehwal perkhidmatan pelajaran dapat berkomunikasi antara satu sama lain dengan lancar tanpa sekatan.

"Justeru, diharapkan supaya integrasi sistem maklumat ketiga-tiga pihak akan dilaksanakan dengan segera.

"Dalam hal ini, khidmat nasihat kepakaran yang terdapat di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) hendaklah digembleng bagi menerajui komitmen mengintegrasikan sistem maklumat SPP dengan kementerian-kementerian yang berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan infrastruktur sehingga ke tahap mega dalam bidang pendidikan perlu difikirkan semula.

Beliau berkata bagi memperkasakan bidang pendidikan, adalah lebih baik tumpuan pembangunan diberikan kepada "software" atau pengisian pendidikan itu sendiri.
-BERNAMA

Monday, 31 May 2010

2:120

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.
( سورة البقرة , Al-Baqara, Chapter #2, Verse #120)

12 rakyat M'sia disahkan di kapal yang diserang Israel

(MK)
Joseph Sipalan
Mei 31, 10
12:51pm

Dua belas rakyat Malaysia disahkan berada di kapal Mavi Marmara - kapal utama flotila enam kapal yang ditugaskan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserbu dan diserang oleh tentera rejim Israel.

Mereka termasuk dua wartawan sebuah televisyen berbayar di Malaysia.

Mereka adalah sebahagian daripada misi 11 anggota yang dinamakan Lifeline4Gaza, yang mengambil bahagian dalam 'Flotila Kebebasan' bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Semenajung Gaza.

Adalah dipercayai Lifeline bukan badan kemanusian tunggal dari Malaysia yang terbabit, kerana ada beberapa kumpulan yang bergerak secara berasingan dengan kapal yang lain.

Jurucakap Lifeline4Gaza, Dr Hafidzi Mohd Noor berkata sembilan daripada mereka adalah sukarelawan dari enam NGO dari Malaysia.

Mereka termasuk Haluan, Aqsa Syarif, Yayasan Amal, Muslim Care, Palestine Centre of Excellence (Pace) dan Jemaah Islamiah Malaysia (JIM).

Dr Hafidzi berkata dia gagal menghubungi kumpulannya itu apabila serangan bermula dan mereka belum dapat mengenal-pasti identiti ke-12 rakyat Malaysia berkenaan.

Sementara itu, menurut ADUN Meri, Dr Abd Rani Osman ang kini di Instanbul juga mengesahkan penahanan rakyat Malaysia itu.

Dr Abd Rani melalui SMS kepada Malaysiakini juga memberitahu bahawa sekurang-kurangnya 16 aktivis pro-Palestin dibunuh, manakala puluhan lagi cedera dalam serangan itu.

Kapal Mavi Marmara yang dimiliki Turki itu kini dilaporkan dibawa ke Haifa, manakala semua penumpangnya akan dipenjarakan.

Dua wartawan Astro Awani itu dikenalpasti sebagai Ashwad Ismail dan jurugambar dan Samsul Kamal Abdul Latip. Usaha Malaysiakini menghubungi Ashwad setakat ini tidak berhasil.

Manakala dalam laman Twitter-nya, Ashwad hanya mengemaskinikan statusnya kira-kira 14 jam lalu.

"Mavi Marmara on alert. Semua berada pada tahap tertinggi. Dua pesawat pemantau Drone dipercayai milik Israel kelihatan," coretan terakhirnya sebelum tragedi itu dipetik.

Terdahulu, menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, laporan awal mengesahkan dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan.

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

Sunday, 23 May 2010

Bayar RM 750 ribu...




KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur diarah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini semalam membayar ganti rugi kepada seniman negara, Datuk Syed Ahmad Jamal Syed Jamil Sahil (gambar) RM750,000 kerana melakukan pengubahsuaian terhadap satu arca tanpa kebenaran seniman itu.

Hakim Datuk Azhar Mohamed juga memerintahkan Datuk Bandar membayar kos undang-undang dan faedah lapan peratus setahun dari tarikh saman itu difailkan pada 2003 sehingga selesai pembayaran.

Beliau juga membenarkan permohonan Syed Ahmad Jamal untuk perintah deklarasi yang beliau boleh mencipta arcanya Puncak Purnama/Lunar Peaks di mana-mana tempat lain.

kredit : kosmo.com.my

Bola Sepak Piala Dunia 2010 di Malaysia

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: Dermakanlah apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir
( سورة البقرة , Al-Baqara, Chapter #2, Verse #219)

Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
( سورة المائدة , Al-Maeda, Chapter #5, Verse #91)

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
( سورة المائدة , Al-Maeda, Chapter #5, Verse #90)

Saturday, 17 April 2010

apko

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.
( سورة المائدة , Al-Maeda, Chapter #5, Verse #51)

Thursday, 15 April 2010

Al-Waqia ...(sembang2 dgn bob)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Apabila berlaku hari kiamat itu, (1)
Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. (2)
Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar) dan meninggikan (golongan yang taat). (3)
(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan. (4)
Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, (5)
Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran, (6)
Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlainan keadaannya); (7)
Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu? (8)
Dan puak pihak kiri; alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu? (9)
Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak); (10)
Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah), (11)
(Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat. (12)
(Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu; (13)
Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian. (14)
(Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata; (15)
Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan. (16)
Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka; (17)
Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. (18)
Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya. (19) Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, (20)
Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini. (21)
Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya, (22)
Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. (23)
(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan. (24) Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; (25)
Mereka hanya mendengar ucapan: Selamat! Selamat! (dari satu kepada yang lain). (26)
Dan puak kanan, alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu? (27)
Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. (28)
Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, (29)
Dan naungan yang tetap terbentang, (30)
Dan air yang sentiasa mengalir, (31)
Serta buah-buahan yang banyak, (32)
Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya, (33)
Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya. (34)
Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, (35) Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), (36)
Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya. (37)
(Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan; (38)
Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu, (39)
Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian. (40)
Dan puak kiri, alangkah seksanya keadaan puak kiri itu? (41)
Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak (42)
Serta naungan dari asap hitam (43)
Yang tidak sejuk dan tidak pula memberi kesenangan. (44)
Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan). (45)
Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar, (46)
Dan juga mereka selalu berkata: Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan hidup semula? (47)
Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu, (akan dibangkitkan hidup semula)? (48)
Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian, (49)
Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan pada hari kiamat yang termaklum. (50) Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat), (51)
Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum, (52)
Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu, (53)
Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak, (54)
Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas. (55)
Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu. (56)
Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat). (57)
(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)? (58)
Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya? (59)
Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan; (60)
(Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang-orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu) dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya. (61)
Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak). (62)
Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam? (63) Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya? (64)
Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggallah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal, (65) (Sambil berkata): Sesungguhnya kami menanggung kerugian. (66)
Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil) (67)
Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? (68)
Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan) atau Kami yang menurunkannya? (69)
Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur. (70)
Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)? (71) Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya atau Kami yang menumbuhkannya? (72)
Kami jadikan api (yang tercetus dari kayu basah) itu sebagai peringatan (bagi orang-orang yang lalaikan kebenaran hari akhirat) dan sebagai benda yang memberi kesenangan kepada orang-orang musafir. (73)
Oleh yang demikian (wahai orang yang lalai) bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar (sebagai bersyukur akan nikmat-nikmatNya itu). (74)
Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran; (75)
Dan sebenarnya sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalaulah kamu mengetahuinya. (76) Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), (77)
Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, (78)
Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; (79) Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. (80)
Patutkah kamu (wahai golongan yang kufur ingkar) bersikap sambil lewa terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini? (81)
Dan kamu jadikan sikap kamu mendustakannya (sebagai ganti) bahagian dan nasib kamu (menerima dan bersyukur akan ajarannya)? (82)
Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya; (83)
Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya. (84)
Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat, (85)
Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami); (86)
Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar? (87)
Kesudahannya: Jika dia (yang mati itu) dari orang-orang "Muqarrabiin", (88)
Maka (dia akan beroleh) rehat kesenangan dan rahmat kesegaran, serta Syurga kenikmatan. (89)
Dan jika dia dari puak kanan, (90)
Maka (akan dikatakan kepadanya): Selamat sejahtera kepadamu, (kerana engkau) dari puak kanan. (91)
Dan jika dia dari (puak kiri) yang mendustakan (Rasulnya), lagi sesat, (92)
Maka sambutan yang disediakan baginya adalah dari air panas yang menggelegak, (93) Serta bakaran api Neraka. (94)
Sesungguhnya (segala yang disebutkan) itu adalah kebenaran yang diyakini. (95)
Oleh itu, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar. / (96)