IslamiCity.com Apabila membincangkan sebarang aspek peradaban Islam, matlamat yang akhir dan dasar kreatifnya mestilah dilihat sebagai berlandaskan Al-Quran, kitab suci Islam. Budaya Islam sebenarnya “budaya Al-Quran” kerana takrif, struktur, matlamat dan kaedah untuk mencapai matlamat budaya Islam itu semuanya dihasilkan daripada seni penurunan wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam abad ketujuh Masihi. Orang Islam tidaklah sekadar mendapatkan pengetahuan tentang kebenaran hakiki daripada Al-Quran. Perkara yang juga begitu mendesak dan memaksa adalah idea-idea Al-Quran tentang alam semula jadi, tentang manusia dan semua makhluk hidup yang lain, tentang pengetahuan, tentang institusi sosial, politik dan ekonomi yang diperlukan bagi mengendalikan masyarakat yang sihat. Pendeknya, semua ini meliputi setiap cabang pembelajaran dan aktiviti kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa dalam Al-Quran yang terdiri daripada 114 surah, terdapat prinsip-prinsip asas bagi keseluruhan budaya dan peradaban. Tanpa wahyu tentang prinsip-prinsip asal itu, budaya tidak dapat dibangunkan. Tanpa wahyu itu juga, mungkin tidak akan ada agama Islam, negara Islam, falsafah Islam, undang-undang Islam, masyarakat Islam mahupun organisasi politik dan ekonomi Islam. Seni peradaban Islam perlu juga dilihat sebagai pernyataan estetik yang berasaskan Al-Quran. Aspek budaya Islam ini harus dilihat sebagai mempunyai sifat-sifat Al-Quran dari segi asas dan motivasi. Begitulah juga seni peradaban Islam haruslah dilihat sebagai ungkapan estetika yang sama bentuknya dalam pelaksanaannya. Sesungguhnya kesenian Islam adalah kesenian Al-Quran. al-Faruqi. (1992). Atlas Budaya Islam.
QuranExplorer.com
rumah anak yatim
tanah impian

Followers

Monday, 4 July 2011

...kisah seorang pencuri...

Pada hari ini. Heboh berita dalam akhbar dan semua jenis media massa tentang seorang pencuri yang memasuki sebuah rumah yang penghuninya sedang menyedari kedatangan pencuri. Sewaktu keluar meninggalkan rumah tersebut, pencuri itu telah menulis sekeping nota dan meninggalkan kad pengenalannya di meja ruang tamu. Ini dilakukan adalah untuk menyediakan bahan bukti bahawa beliau telah memasuki rumah itu dan telah menyapu bersih barang yang disukainya. Kesemua barang-barang yang dicurinya turut disenaraikan dalam nota yang tinggalkan itu.

Diberitakan juga, polis mengklasifikasikan peristiwa itu sebagai sebuah sejarah kriminal. Sumber polis juga telah menyatakan bahawa pihak polis tidak akan melakukan sebarang siasatan walaupun mengetahui tentang peristiwa bersejarah itu dan adanya bahan-bahan bukti untuk pendakwaan. Polis memilih sikap ini kerana mangsa kejadian curi tidak mahu membuat sebarang laporan kepada polis walaupun didesak oleh jiran-jirannya. Peristiwa bersejarah ini berlaku di Kolumpo.

Sunday, 19 June 2011

Mahasiswa Kuasa Penentu PRU13

Mohd Yusof Hadhari(Hd)

Gerakan mahasiswa adalah suatu kuasa yang mesti diberikan perhatian dan diambil perhitungan. Dalam lipatan sejarah universiti, masyarakat dan negara, sama ada dilihat secara universal atau secara perbandingan, misalnya, antara Asia dengan benua-benua lain, atau antara dunia ketiga dengan dunia-dunia lain, atau jika di negara ini, sama ada di peringkat sesebuah universiti atau di peringkat nasional, gerakan mahasiswa punya sejarahnya yang tersendiri.

Kadang-kadang ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, manakala kadang-kadang pula ia hanya tercatat sebagai sejarah di kalangan aktivis dan pendokongnya sahaja. Jika ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang baik, manakala kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang kurang baik.

Walaupun apapun pengakuan, pengiktirafan dan penafsiran yang diberikan terhadap gerakan mahasiswa, hakikatnya ialah ia adalah satu proses yang amat dinamik dan progresif, sama ada kepada proses pembangunan universiti, masyarakat dan negara, atau sekurang-kurangnya kepada para aktivis dan pendokongnya. Kerana itu, ia perlu dilihat dan dirakam dengan bijaksana. Sebagai sejarah dan penunjuk arah. Bagi gerakan dan pembangunan mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara.

Mahasiswa Bangkit


Jika terdapat pendapat yang berbeza tentang tahun permulaan zaman kemuncak gerakan mahasiswa, tetapi, dalam menentukan tahun akhirnya, terdapat pendapat yang sama, iaitu tahun 1974. Walaupun ramai penulis yang menggunakan tahun 1974 dalam tulisan mereka, dan ada juga penulis menggunakan tahun 1971, tetapi tahun 1971 yang digunakan kedua-duanya adalah kerana faktor teknikal.

Pendapat ini turut dikongsi oleh ramai pemerhati gerakan mahasiswa yang lain. Yang menjadikan tahun 1974 adalah tahun akhir zaman kemuncak gerakan mahasiswa ialah kerana setelah peristiwa demonstrasi Baling pada Disember 1974, pindaan telah dibuat terhadap AUKU 1971 pada awal tahun 1975 (dikenali sebagai Pindaan 1975), dan setelah itu, jelas kelihatan berlaku perubahan yang besar dari segi bermulanya zaman kelembapan gerakan mahasiswa.

Bagi pendapat yang mengatakan bahawa tempoh masa dari tahun 1965 hingga tahun 1974 adalah zaman kemuncak gerakan mahasiswa negara, ia diukur dari segi tindakan-tindakan mahasiswa yang bercorak politik. Hal ini termasuklah:

(1) Seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan sosial di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh-tokoh politik dan pensyarah.

(2) Resolusi-resolusi bercorak politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan umum dan kerajaan.

(3) Penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka.

(4) Demonstrasi di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan ideal perjuangan mereka.

(5) Sesetengah mahasiswa mengambil bahagian dengan memegang jawatan dalam parti-parti politik, seperti Parti Rakyat.

Sama ada ukuran politik yang sedemikian rupa adalah ukuran paling tepat untuk zaman tersebut, dan sama ada pemilihan zaman tersebut itu sendiri adalah pemilihan yang tepat, ia terserah kepada pandangan masing-masing individu. Ini adalah kerana tidak wujud satu kayu ukur, indikator atau kriteria yang saintifik tentang keaktifan, kelembapan atau kemuncak gerakan mahasiswa. Bagi mereka yang mengukurnya dengan ukuran politik, antara hujah utamanya ialah gerakan mahasiswa harus berbeza daripada sekadar penganjuran aktiviti kokurikulum oleh pelajar sekolah menengah tinggi.

Mahasiswa dalam PRU

PRU 13 bakal tiba tidak lama lagi. Bacaan ahli-ahli politik kemungkinan paling awal pada bulan julai ini. Persoalan yang timbul dimana tempat mahasiswa menjelang pilihan raya nanti. Semua sedia maklum bahawa mahasiswa yang dipanggil ‘Kuasa Ketiga’ iaitu pengundi atas pagar yang sangat penting diperhatikan justru golongan ini dilihat memiliki critical thinking yang sangat prihatin terhadap apa yang berlaku di negara sekarang. Golongan atas pagar ini mungkin tidak menyokong mana-mana parti politik tetapi mereka hanya akan mengundi parti dan calon yang memenuhi cita rasa mereka. Mereka ini melihat isu dan cara mana sesuatu parti yang bertanding itu menangani isu itu. Mereka juga meneliti rekod parti pemerintah dan pembangkang.

Bercakap soal keberanian mahasiswa menyertai pilihan raya umum akan datang. Bagi saya bukan soal bertanding ataupun tidak, berani atau penakut. Tapi yang penting bagaimana kita boleh hadirkan atau berikan calon yang terbaik kepada masyarakat. Jika ada calon yang boleh kita sepakati kebolehannya dalam memimpin, apa salahnya kita serahkan kepada rakyat. Dan perlu diingat pemimpin bagi masyarakat bukan lagi ruang mahasiswa sahaja. Soal kuliah, soal parlimen, soal kebajikan rakyat, soal mahasiswa dan sebagainya. Mahasiswa perlu lebih matang fikirkan soal ini dan bukan bertindak dengan keberanian dan semangat semata-mata tanpa membuat persediaan yang rapi.

Golongan muda dan ‘Kuasa Ketiga’ ini kemungkinan menjadi kuasa penentu akan kemenangan calon-calon dalam PRU Ke-13 nanti. Mahasiswa sedang memerhatikan sungguh- sungguh perjalanan Pakatan Rakyat dan Umno/BN, terutama para calon yang akan dikemukakan oleh kedua-dua pihak. Mahasiswa dan anak muda hanya akan memberikan undi kepada calon yang mereka lihat berwibawa, calon yang berilmu, mesra rakyat dan berfikiran terbuka serta calon yang tidak pelahap dengan pelbagai habuan atau boleh dibeli dengan wang dan ganjaran lain. Boleh disimpulkan bahawa golongan generasi muda dan golongan mahasiswa ini adalah golongan yang sangat kritikal. Jangan ada siapa yang berfikir bahawa mahasiswa adalah ‘pengundi mainoriti’, tidak penting dan bukan penentu keputusan pilihan raya nanti.
Mohd Yusof Hadhari adalah Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis)

Wednesday, 11 May 2011

ALLAHUAKBAR!



SEJAK dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 pada 13 September 2010, inilah buat pertama kalinya Sultan Muhammad V memberikan wawancara khas kepada para wartawan media cetak dan media elektronik.

Wawancara khas itu telah berlangsung di Istana Negeri, Kubang Kerian, Kota Baru pada Rabu, 4 Mei 2011 pada lebih kurang jam 5.30 petang dalam suasana penuh protokol tetapi tetap mesra.

Wawancara itu juga diadakan bersempena dengan pelancaran Yayasan Sultan Kelantan yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) minggu hadapan.

Sebanyak 12 wakil media termasuk dari Mingguan mStar dan The Star telah dijemput untuk menemuramah Sultan Muhammad V yang hadir segak menggenakan sut coklat muda ala Nehru.

Baginda Sultan juga sentiasa memulakan bicara dengan terlebih dahulu melafazkan Bismillahirrahmanirrahim dan Asalamualaikum kepada pertanyaan wartawan muslim dan salam sejahtera kepada wartawan bukan Islam.

Dan sebelum memulakan wawancara baginda terlebih dahulu bertanya sama ada perbualan yang akan berlangsung itu hendak menggunakan dialek Kelantan ataupun bahasa rasmi.

Sepanjang wawancara itu yang berlangsung selama lebih 45 minit, baginda hanya membahasanya dirinya sebagai ‘saya’ bukannya ‘beta’ sebagaimana lazim digunakan di dalam istana.

Berikut adalah petikan wawancara bersama Tuanku Sultan Muhammad V:

> Perkara pertama yang terlintas di dalam fikiran sebaik sahaja menaiki takhta Kesultanan Kelantan: Perkara pertama ialah untuk memilih nama rasmi yang akan dipakai selaku Sultan iaitu Sultan Muhammad V dan perkara kedua ialah untuk menukar seruan “Daulat Tuanku” yang lazim digunakan sebelum ini kepada seruan “Allahu Akhbar”. Pada pandangan saya, inilah yang paling sesuai kerana secara tidak langsung siapa yang melafazkannya akan memperolehi pahala. itulah yang terbaik untuk rakyat saya.

> Mengapa memilih menggunakan gelaran Sultan Muhammad V sebagai gelaran rasmi: Kerana kalau kita tengok dalam sejarah salasilah negeri Kelantan, Sultan yang terakhir, menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ke-IV. Jadi kalau nama saya sendiri sudah Muhammad, secara semula jadinya itulah pilihan pertama saya. Dan setelah berfikir semasak-masaknya itulah pada fikiran saya yang terbaik...Insya-Allah.

> Bilakah akan ditabal secara rasmi selaku Sultan Kelantan: Saya fikir, bukan perkara ini tidak pernah berlaku (tidak melangsungkan upacara pertabalan). Misalnya untuk senang diterima, kita ambil dalam hal Almarhum Sultan Johor yang lepas, baginda tidak pernah ditabal walaupun menjadi Sultan Johor untuk lebih 23 tahun jika tidak silap saya. Jadi soal pertabalan ini adalah lebih kepada formaliti jika hendak dibandingkan dengan keperluan. Sebab saya fikir, ini bukan hendak glorify atau bermegah-megah atau hendak membesar-besarkan diri kita sendiri tetapi ini lebih soal tanggungjawab. (Nota: Untuk makluman pembaca, Sultan Muhammad telah dimasyurkan secara rasmi pada 13 September 2010 sebagaimana yang dituntut oleh perlembagaan negeri. Soal pertabalan hanyalah merupakan satu adat yang terpulang kepada Sultan sama ada ingin menyegerakannya atau mengadakannya pada satu tarikh yang difikirkan sesuai.)

> Tentang hubungan dengan ayahanda, bonda dan adinda-adinda pada masa ini: Jawapan yang terbaik kepada soalan ini pada saya ialah “Alhamdulillah...”

> Perasaan tentang perhatian seluruh negara yang tertumpu kepada isu-isu yang melingkari Istana Kelantan: Saya rasa jawapan yang paling sesuai ialah kita tidak boleh nak fikir sangat (hal ini) sebab jika kita terlalu memikirkan sangat, nanti otak kita akan sesak (jammed) jadi kita kena reda, kita tunggu dan kita lihat apa yang berlaku itu, jika kita fikir ia sudah takdir, maka kita lihatnya sebagai takdir. jika kita hendak fikir banyak sangat why? why? why?...akhirnya kita tidak akan terfikir kerana otak manusia atau data base otak manusia tak akan dapat memikirkan kenapa ini semua terjadi.

> Rahsia tidak kekok untuk berada bersama-sama rakyat, duduk dan makan bersama malah menyembelih lembu bersama-sama rakyat dalam majlis-majlis keramaian: Kalau kita buat sesuatu perkara yang kita suka seperti sesetengah orang suka menyanyi, sesetengah orang suka makan, tengok tv, akhirnya ia akan menjadi senang untuk kita. Misalnya jika kita suka makan nasi lemak, kita makan sepuluh bungkus pun tidak ada hal.

> Rahsia mudah didekati oleh rakyat dan tidak kekok memberi bantuan peribadi: Bagi saya senang sahaja sebab jika kita perhatikan sewaktu ayahanda saya menjadi Sultan, tidak ada satu yayasan dibuat atas namanya. Jadi saya fikir mengapa tidak ada (yayasan). Jadi itu yang mendorong saya untuk memberi sumbangan peribadi kepada rakyat jelata. Sebab tidak ada yayasan di atas nama ayahanda saya yang dapat saya gunakan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat (Nota: sebaik sahaja diangkat menjadi Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah menubuhkansebuah yayasan yang diberi nama Yayasan Sultan Kelantan yang tujuannya adalah untuk menjaga kebajikan, pendidikan dan keagamaan rakyat di bawah jajahannya.)

> Mengenai perancangan Yayasan Sultan Kelantan dalam membantu rakyat: Kita anggarkan kita akan dapat mengutip antara RM5 hingga RM6 juta (untuk dana awal). Selepas itu anggota lembaga pemegang amanah akan memutuskan cara untuk menyalurkan wang tersebut. Apa yang penting ialah untuk menentukan supaya program baru untuk mengumpul dana dapat dirancang dengan baik agar wang dana itu tidak habis. Jika wang dana tidak mencukupi atau kehabisan ini bermakna hanya segelintir pihak sahaja yang berpeluang mendapat faedah daripada dana ini. Matlamat yayasan ini ialah untuk membantu seseorang itu berdikari supaya dia sendiri dapat menguruskan dirinya selepas itu tanpa bantuan lagi.

> Pandangan tentang isu pembangunan yang dihadapi oleh rakyat dan negeri Kelantan: Masalah negeri Kelantan saya nampak adalah tentang soal kekurangan infrastruktur asas dan tidak semaju seperti mana negeri Selangor atau Johor. Jadi kalau negeri-negeri ini banyak lebuhraya dan jalan baru dibina akhirnya kampung-kampung kecil dan bandar-bandar kecil yang berada di sekitar kawasan yang memiliki kemudahan infra seperti jalan raya dan sebagainya akan menerima pembangunan secara tidak langsung. Ini kerana, saya selalu ke mana-mana menggunakan kereta, jadi saya dapat tengok bagaimana kawasan yang mempunyai jalan besar dan utama akan turut membangun dan kampung itu tidak mati. Tetapi jika tidak ada jalan dan pembangunan ekonomi susah hendak sampai ke situ, ia akan mati termasuklah masyarakat kerana mereka tidak ada kesempatan untuk turut membangun kerana tiadanya komunikasi dengan dunia luar. Di Kelantan itu yang paling ketara...

> Tentang prinsip-prinsip asas dan perubahan utama yang akan dilaksanakan: Prinsip saya ialah kita sebagai pemerintah haruslah aktif membuat tinjauan kerana hanya dengan meninjau kita akan mendapat gambaran sebenar (keadaan di bawah) dan dapat ambil tindakan sewajarnya serta dapat memberi keutamaan kepada yang mana perlu mendapat perhatian terlebih dahulu.

> Tentang tahap kemajuan ekonomi dan pembangunan sosial negeri Kelantan: Seperti mana yang saya katakan di awal wawancara tadi, tidak ada bandar di dunia ini dapat bangun tanpa ada infrastruktur asas seperti jalan, hospital, lapangan terbang. Saya bukannya hendak campur politik tetapi apa yang saya maksudkan di sini ialah kalau hendak bangunkan sesuatu kita perlu buat kajian fisibiliti terlebih dahulu. Contohnya macam saya balik (dari sesuatu majlis) dengan kereta saya dapat lihat sendiri kesesakan lalu lintas yang teruk kearah pusat bandar (Kota Baru) bila ada cuti am. Mengapa sesak? Kerana jalan tidak luas atau tidak cukup tetapi kereta banyak. Mengapa kereta banyak? Sebab pada waktu cuti umum orang Kelantan di luar Kelantan balik bercuti ke Kelantan. Jadi kalau kita buat lebuh raya dan buat tol sudah pastinya kita akan dapat menjana pendapatan kerana ramai yang balik ke Kelantan menggunakan kereta. Akhirnya hasil (wang) akan berpusing dan ini akan merancakkan ekonomi termasuk hasil pendapatan rakyat. Bila ini berlaku ia akan menyenangkan hati rakyat – tidak kiralah sama ada ekonominya ke, kesejahteraan dia ke, atau kesihatan dia ke, asalkan rakyat senang. Dan apa sahaja yang akan menyenangkan rakyat kita sokong. Jadi kita tidak hendak menyalahkan mana-mana pihak. Cuma bila kita buat perbandingan contoh Kelantan dengan Terengganu, Kelantan dengan Pahang, Kelantan dengan Johor atau Selangor, Wilayah Persekutuan, kita akan tahu jawapannya kedudukan kita di mana.

> Mengenai impak aktiviti politik kepada perpaduan rakyat: Sistem politik ini, bagi saya selagi ia tidak bercanggah dengan agama dan kita tidak memburuk-burukkan orang lain dalam ceramah tidak mengapa. Bagaimanapun ia bergantung atas diri masing-masing. Misalnya atas pentas ceramah, kalau sesetengah orang itu mulutnya laser, akan keluar perkataan-perkataan yang tidak elok tetapi kalau orang itu jenis orang baik, tak akan keluar kata-kata buruk ke atas orang lain. Jadi kita sendiri kena tahu bila hendak tekan brek (had). Kalau saya sendiri nak cakap apa-apa pun siapa boleh halang saya cakap tapi kita sendiri kena tahu bila hendak brek. Sebagai manusia kita kena tahu had kita di mana. Jika tidak, kita akan menjadi seperti sebuah kereta api yang out of control yang akhirnya akan terbalik.
(ROZAID A. RAHMAN & SYED AZHAR mStarOnline)

...burung orang...

Sunday, 6 March 2011

...sekolah seni...

Sistem penggredan didakwa tidak diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi

070311.BH.JOHOR BAHRU: Lebih 100 pelajar perintis dua sekolah seni kendalian Kementerian Pelajaran yang kini berada dalam Tingkatan Lima, dijangka berdepan masalah memohon kemasukan institusi pengajian tinggi (IPT) kelak berikutan sistem penggredan digunakan dalam peperiksaan mata pelajaran kesenian mereka didakwa tidak diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi.

Status itu dikatakan mencetus kebimbangan pelbagai pihak, khususnya ibu bapa dan guru, terhadap nasib serta hala tuju pelajar dua sekolah seni yang ditubuhkan sejak Januari 2007, iaitu Sekolah Seni Johor Bahru (SSeJB) dan Sekolah Seni Kuching (SSK).
Menurut sumber rapat dengan pengurusan sekolah seni itu, sistem penilaian dan penaksiran subjek kesenian yang diambil pelajar terbabit adalah dalam bentuk Band merangkumi Band I hingga VI, berbeza dengan sistem untuk mata pelajaran akademik.
Beliau mendakwa, sistem Band seumpama turut digunakan dalam penilaian Malaysian University English Test (MUET) yang diiktiraf kerajaan tetapi dalam konteks mata pelajaran kesenian di sekolah seni, ia belum diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi.

“Modul, sukatan pelajaran dan keputusan peperiksaan menggunakan sistem penggredan Band di sekolah seni dilaksanakan Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pelajaran.

“Bagaimanapun, masalah kini timbul apabila Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menyarankan pelajar ini mendaftar untuk menduduki peperiksaan subjek kesenian sekolah harian biasa bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan November depan.

“Kumpulan perintis sekolah seni ini meluangkan hampir 12 jam seminggu untuk mempelajari subjek kesenian mereka dan menerusi sukatan serta modul khas yang diikuti, pendidikan mereka boleh dianggap setaraf pengajian pelajar tahun pertama peringkat diploma.

“Jadi persoalan kini, berbaloikah usaha semua pelajar sekolah seni ini jika mendaftar mengambil peperiksaan sekolah harian biasa semata-mata untuk memastikan gred mata pelajaran kesenian mereka diiktiraf?” katanya.

Sumber itu berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian segera kerana pelajar sekolah seni terbabit bakal mendaftar mata pelajaran yang akan diambil dalam peperiksaan SPM pada akhir bulan ini.

“Masalah ini dikatakan sudah dikenal pasti sejak lebih setahun lalu dan dibincangkan dalam mesyuarat Kementerian Pelajaran dari semasa ke semasa.

“Namun sehingga kini difahamkan tiada sebarang penyelesaian diperoleh, sebaliknya memerlukan transformasi pada peringkat pelajar sendiri. Di manakah martabat sekolah seni jika keadaan sebegini berlaku?” katanya yang meminta BPK Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memandang serius masalah itu dan mengatasinya segera.

Beliau mendakwa sekiranya perkara itu berterusan dan mengundang masalah pada masa depan, tidak mustahil ibu bapa pelajar di sekolah itu memberhentikan anak kerana menganggap lebih baik mereka mengikuti pembelajaran di sekolah harian biasa.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSeJB, Selamat Omar, mendakwa perkara berkenaan sering dibangkitkan pada mesyuarat PIBG sejak tahun lalu, namun sehingga kini pihak sekolah dan ibu bapa masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Kementerian Pelajaran mahu pun Pengajian Tinggi mengenainya.

“Mungkin bagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dari segi akademik tidak bermasalah untuk memasuki IPT tempatan.

“Namun bagaimana pula dengan pelajar yang sederhana pencapaiannya, iaitu keputusan akademik dan kesenian masing-masing hanya 50-50, tentu peluang sukar untuk mereka memasuki IPT,” katanya.

Selain itu, Selamat berkata, ramai ibu bapa juga pernah mempersoalkan mengapa pelajar sekolah seni perlu memilih aliran sains atau sastera ketika memasuki Tingkatan Empat selepas mendapat keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Kami terkejut dengan keadaan ini. Dari awal lagi kami sudah bertanya ketika bermesyuarat, mengapa sekolah seni perlu mengikut format sekolah harian biasa? Apa yang kami risaukan sebelum ini kini sudah dapat dilihat sekarang,” katanya ketika dihubungi semalam.

SSeJB dan SSK diwujudkan kerajaan sebagai saluran kepada pelajar berbakat dan berpotensi dalam bidang kesenian untuk mendalami bidang yang mereka minati itu.

Sekolah berkenaan menawarkan pendidikan kesenian teater, muzik, pendidikan seni visual dan tarian, selain subjek wajib lain seperti Matematik, Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris.

Tuesday, 22 February 2011

Keajaiban al-Quran atasi logik akal

IRFAN MOHAMAD (Selatan Online)

'Dalam keadaan marah, Umar al-Khattab menuju ke rumah adiknya. Dia mendengar dan mengamati dari luar rumah, kalimah dan ayat yang dialun begitu tersusun indah. Belum pernah didengari bait-bait seperti itu yang begitu memukau pendengaran, dengan maknanya yang mendalam membuat hati pasrah. Lalu bayu keinsafan mula menerjah, hatinya bersinar tersuluh hidayah'.

Keajaiban al-Quran bukan sahaja terkandung pada maknanya, malah ketelitian susun atur ayatnya mengalahkan pakar bahasa dan penyair yang masyhur pada zamannya. Pernah dicuba untuk ditandingi, namun tiada hasil sehingga kini.

Sejak dahulu lagi, ancaman untuk mengatasi keunggulan al-Quran telah muncul, namun tiada hasil yang ditemui selain kehampaan yang berterusan. Era modenisasi juga tidak terkecuali daripada cubaan anasir-anasir yang tidak pernah berputus asa untuk meragut keaslian dan menconteng kemurnian khazanah al-Quran. Percubaan demi percubaan untuk mengelirukan umat Islam dengan ayat-ayat dan surah-surah palsu tidak pernah padam.

Namun, al-Quran sebagai satu mukjizat maknawi dilindungi dengan penuh keajaiban. Pasti tiada versi palsu yang berlegar di pasaran selepas penerbitan tanpa gagal dikesan.

Dari segi sejarahnya, al-Quran yang merupakan lembaran-lembaran ayat, telah diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun sejak Baginda mula dilantik menjadi rasul. Bermula dengan ayat dari surah al-Alaq, disusuli dengan ayat-ayat dari surah al-Muzzammil, yang menjadi watikah pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah, al-Quran tetap sebagaimana wajahnya yang asal. Yang membezakannya mungkin dari segi penampilannya sahaja. Jika dahulu ia terkandung dalam dada para sahabat, ia kemudiannya ditulis di atas pelepah pohon kayu dan kulit kambing. Inisiatif pada zaman Saidina Uthman Ibni Affan yang telah menyatukannya dalam bentuk mashaf merupakan kesinambungan ke arah memastikan mesej dakwah sampai sehingga ke generasi akhir zaman.

Tiada satu pun karangan bahkan kitab-kitab Nabi terdahulu yang dapat mengekalkan bentuknya sebagaimana versi asal, seperti ajaibnya kalamullah, al-Quran.

Menghafal keseluruhan suatu buku yang mengandungi 30 bab, atau mungkin salah satu babnya sahaja adalah mustahil bagi kebanyakan manusia. Apatah lagi untuk mencari sebilangan manusia dari pelosok benua yang berlainan, yang mampu menghafal lebih daripada 6,000 ayat yang kebanyakannya adalah dalam bukan bahasa ibunda mereka, dalam keadaan tiada berbeza antara versi seorang dengan seorang yang lain walau sedikit pun.

Logik akalnya memang begitu, namun keajaiban al-Quran membuktikan bahawa ia mampu berada dalam kotak ingatan manusia, tanpa mengira batas usia, warna kulit, merentasi sempadan bangsa dan budaya.

Keajaiban kandungannya juga tidak mampu dinafikan oleh siapa jua daripada golongan manusia yang berakal. Kemampuannya melakar dengan jelas peristiwa sejarah, menukil dengan terperinci peristiwa semasa dan membentangkan agenda yang akan berlaku pada masa hadapan cukup menakjubkan. Perjalanan hidup manusia, atau lebih tepat lagi setiap makhluk seisi alam telah diceritakan satu persatu dengan jelas bermula sejak zaman sebelum penciptaan Nabi Adam lagi sehinggalah ke destinasi terakhir pada alam yang muktamad iaitu syurga dan neraka. Peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar kehidupan kita sudah cukup menyediakan dalil aqli yang membuktikan kebenaran ayat-ayat al-Quran. Mempelajari kisah-kisah sejarah di dalam al-Quran bukan sahaja akan memberikan kita gambaran mutiara teladan daripada sirah para Nabi yang terdahulu bahkan melakarkan dengan jelas apakah akibat yang menimpa golongan kafir dan musyrikin jika menentang perintah Ilahi. Kisah Nabi Musa yang bermusafir sambil belajar daripada Nabi Khidir menukilkan adab-adab ketika berguru, yang kebanyakannya amat praktikal jika diamalkan dalam kehidupan semasa. Contohnya, kita sewajarnya memberi perhatian yang penuh sewaktu belajar, bertanya guru pada masa yang sesuai, menilai sesuatu bukan pada zahirnya sahaja, tidak mudah jemu dan sanggup menerima teguran dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.

Nilai-nilai murni yang ditunjukkan dalam banyak lagi kisah teladan para Nabi dan solihin boleh diterapkan dan amat bersesuaian untuk diamalkan dalam kehidupan kita seharian.

Al-Quran juga tidak ketinggalan bahkan mendahului dalam perkembangan isu-isu semasa. Kepesatan pembangunan sains dan teknologi seolah-olah menyingkap rahsiarahsia al-Quran selama ini. Dalam bidang perubatan misalnya, perkembangan janin dalam uterus telah diungkapkan dengan teratur peringkat demi peringkat di dalam al-Quran walaupun penggunaan mesin pengimbas ultrabunyi belum lagi diperkenalkan.
'Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang lalu tulang belulang itu Kami bungkus daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang berbentuk lain. Maka Maha Suci Allahlah, Pencipta yang paling baik'. Surah al-Mu'minuun, ayat 12-14.

Sungguhpun jelas di dalam al-Quran diterangkan tentang peringkat-peringkat kejadian manusia ini, hanya sekitar tahun 1940-an sahaja para pengkaji dalam bidang embriologi manusia berjaya mencadangkan wujudnya beberapa peringkat dalam perkembangan janin manusia. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini teori-teori itu telah diterima pakai setelah sains perubatan berjaya membuktikannya.
PenemuanIlustrasi yang padat dan jelas berkenaan peringkat hidup janin manusia itu merupakan suatu petunjuk yang tidak dapat disangkal bahawa al-Quran sememangnya keterangan yang ajaib, yang mendahului penemuan manusia secara saintifik. Hakikat ini telah diakui oleh seorang profesor dalam bidang anatomi manusia, Prof. Moore yang antaranya menyatakan bahawa keterangan secara terperinci itu pasti datangnya daripada Tuhan dan bukannya karangan manusia, yang telah menurunkannya kepada Nabi Muhammad SAW kerana sains perubatan manusia hanya dapat membuktikannya hanya beberapa abad selepas turunnya al-Quran.

Al-Quran juga telah memberi suntikan idea dalam perkembangan kajian-kajian baru sebagai contohnya penggunaan madu dalam bidang perubatan bagi menyembuhkan luka dan meningkatkan daya tahan tubuh melawan jangkitan. Aplikasi kekuatan besi dalam struktur binaan juga telah diinspirasikan melalui salah satu daripada ayat-ayat al-Quran, sebagaiamana firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 25 yang bermaksud :
'Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai-bagai manfaat bagi manusia...'

Selain itu, penerangan al-Quran tentang peredaran bulan dan matahari telah dijadikan sebagai asas perkiraan masa untuk kalendar yang digunakan sehingga ke hari ini. Ilmu astronomi, yang suatu masa dahulu dipelopori oleh ilmuwan Islam sebenarnya berputik daripada rasa ingin tahu yang tercetus hasil penerangan-penerangan tentang angkasa lepas di dalam al-Quran. Tidak terbatas pada teori-teori sahaja, cetusan idea daripada ayat al-Quran telah memberi banyak ilham dan motivasi kepada para pengkaji untuk mencuba kaedah atau penciptaan baru. Tidak mustahil jika dinyatakan bahawa idea untuk mencipta bom mungkin diambil daripada peristiwa burung ababil yang melontarkan batu-batu api ke atas tentera bergajah Abrahah dan reka bentuk terowong dasar laut diambil daripada peristiwa Nabi Musa a.s. membelah laut.

Proses kejadian alam yang lain seperti hujan dan kemarau, pertemuan laut dan sungai, kitar hidup tumbuh-tumbuhan dan perumpamaan melibatkan haiwan bermula daripada sekecil-kecil nyamuk dan semut sehinggalah kepada lembu dan keldai cukup menakjubkan dan cukup jumlahnya untuk mengetuk hati yang tulus ikhlas menerima hidayah.

Berdasarkan penjelasan mengenai peristiwa sejarah serta kesahihan pembuktian peristiwa semasa, amat wajarlah kita meyakini akan ramalan-ramalan atau lebih tepat lagi petunjuk awal yang diceritakan berkenaan dengan peristiwa yang bakal berlaku pada masa akan datang. Sesungguhnya al-Quran sarat dengan seribu satu keajaiban dan hanya keterbatasan akal manusia yang cetek sahaja membuatkan hanya sedikit daripada mutiara ilmunya yang dapat dicungkil.