IslamiCity.com Apabila membincangkan sebarang aspek peradaban Islam, matlamat yang akhir dan dasar kreatifnya mestilah dilihat sebagai berlandaskan Al-Quran, kitab suci Islam. Budaya Islam sebenarnya “budaya Al-Quran” kerana takrif, struktur, matlamat dan kaedah untuk mencapai matlamat budaya Islam itu semuanya dihasilkan daripada seni penurunan wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam abad ketujuh Masihi. Orang Islam tidaklah sekadar mendapatkan pengetahuan tentang kebenaran hakiki daripada Al-Quran. Perkara yang juga begitu mendesak dan memaksa adalah idea-idea Al-Quran tentang alam semula jadi, tentang manusia dan semua makhluk hidup yang lain, tentang pengetahuan, tentang institusi sosial, politik dan ekonomi yang diperlukan bagi mengendalikan masyarakat yang sihat. Pendeknya, semua ini meliputi setiap cabang pembelajaran dan aktiviti kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa dalam Al-Quran yang terdiri daripada 114 surah, terdapat prinsip-prinsip asas bagi keseluruhan budaya dan peradaban. Tanpa wahyu tentang prinsip-prinsip asal itu, budaya tidak dapat dibangunkan. Tanpa wahyu itu juga, mungkin tidak akan ada agama Islam, negara Islam, falsafah Islam, undang-undang Islam, masyarakat Islam mahupun organisasi politik dan ekonomi Islam. Seni peradaban Islam perlu juga dilihat sebagai pernyataan estetik yang berasaskan Al-Quran. Aspek budaya Islam ini harus dilihat sebagai mempunyai sifat-sifat Al-Quran dari segi asas dan motivasi. Begitulah juga seni peradaban Islam haruslah dilihat sebagai ungkapan estetika yang sama bentuknya dalam pelaksanaannya. Sesungguhnya kesenian Islam adalah kesenian Al-Quran. al-Faruqi. (1992). Atlas Budaya Islam.
QuranExplorer.com
rumah anak yatim
tanah impian

Followers

Tuesday, 10 November 2009

Orang berakal mesti cari ilmu

Ilmu mengikut takrif (definisi) Islam ialah pengetahuan dan maklumat secara menyeluruh termasuk perkara ghaibiyyat (perkara yang ghaib). Mengikut takrif masyarakat Barat pula, ilmu hanyalah maklumat yang dapat dikesan oleh pancaindera. Ilmu wahyu yang berkaitan dengan perkara ghaib dianggap bukan ilmu.

Manakala hikmah pula ialah meletakkan sesuatu perkara dengan cara yang betul dan baik.

Ilmu dan hikmah adalah hasil akal, satu kurniaan Allah kepada manusia, ia membezakan manusia dengan makhluk yang lain. Allah SWT menciptakan sebagai makhluk yang berakal. Allah menyifatkan mereka dengan beberapa ungkapan yang menarik, dengan lafaz Ulil Albab, Ulil Absor dan lain-lain.

Antara perkara penting yang mesti dilakukan oleh akal ialah mencari ilmu. Hikmah dan ilmu dicapai sama melalui kurniaan Tuhan, secara langsung atau secara belajar, atau hasil dari beramal dengan ilmu, juga kajian dan pengalaman.

Nas-nas al-Quran dan al-Hadis telah memberi penekanan dalam perkara ini, Allah SWT telah mengesahkan tentang kurniaan ilmu kepada Nabi Daud a.s iaitu Rasul yang dipilih untuk memimpin kerajaan yang menjadi contoh Hadharah Islamiyyah sebagaimana firman Allah menerusi ayat 251 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan Allah mengurniakan kepadanya (nabi Daud) pemerintahan (kerajaan), hikmah (kebajikan) dan mengajarnya (diberi ilmu) daripada apa yang dikehendaki-Nya."

Firman-Nya lagi menceritakan tentang Nabi Daud dan puteranya Sulaiman a.s: "Dan kepada masing-masing Kami kurniakan hikmah dan ilmu." Ayat 79 surah al-Anbiya.

Allah SWT juga menentukan ayat-ayat yang pertama diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w adalah berhubung dengan ilmu. Firman Allah yang bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),(1) Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; (2) Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya(5)." - Surah al-Alaq dari ayat 1 hingga 5

Setelah dinyatakan prinsip ilmu, akidah dan akhlak, Allah berfirman kepada rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Perintah yang demikian itu ialah sebahagian daripada hikmah yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah)." - Ayat 39 surah al-Isra'.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Hikmah itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman, maka dialah yang berhak mengambilnya." - Hadis riwayat Imam at-Tarmizi dan Ibnu Majah.

Al-Quran adalah mukjizat dalam bentuk ilmu yang dikurniankan kepada Rasulullah s.a.w. Ia adalah mukjizat yang berterusan sehingga hari kiamat. Ia juga mencakupi di dalamnya segala perkara, termasuk perkara yang boleh dikesan oleh akal dan pancaindera manusia, yang mampu dikaji oleh mereka dari masa ke semasa, dan ada perkara yang tidak mungkin dicapai oleh akal dan pancaindera.

Ia adalah sebahagian daripada ilmu Allah SWT yang tidak terhingga dan terbatas luar daripada kemampuan manusia untuk mengkaji dan memahaminya. Al-Quran adalah petunjuk dalam perkara yang telah diketahui oleh mereka. Petunjuk al-Quran adalah penuh dengan hikmah yang tepat dan betul.

Mengikut ajaran Islam, semua ilmu adalah berasaskan peranan manusia yang telah ditetapkan oleh Allah. Oleh kerana itu, Islam tidak sama sekali memisahkan antara urusan rohani dan jasmani, dunia dan akhirat.

Semua sudut penghidupan hendaklah berjalan serentak. Ini disebabkan perjalanan hidup manusia memerlukan makanan rohani dan jasmani. Dunia berfungsi sebagai jambatan menuju akhirat, sama ada menuju ke syurga atau neraka.

Kemampuan manusia adalah terhad, mereka memerlukan pertolongan Allah termasuk dalam urusan dunia, sistem pendidikan, dan pelajaran yang mengendalikan segala pengajian hendaklah memenuhi prinsip, objektif dan matlamat pendidikan Islam dengan acuannya yang tersendiri, iaitu membangunkan manusia dengan iman, ilmu dan akhlak seperti yang disebut oleh Jibril a.s ketika menyoal Rasulullah s.a.w dalam hadis yang kedua menerusi hadis 40 Imam an-Nawawi, di mana hadis itu menjurus kepada persoalan Jibril kepada Rasulullah s.a.w mengenai Islam, Iman, Ihsan dan tanda-tanda kiamat. Baginda s.a.w telah menjawab satu persatu persoalan yang dikemukakan kepadanya.

Setelah selesai pertanyaan Jibril itu, beliau pun beredar, maka baginda s.a.w memanggil Sayidina Umar bin al-Khattab dan bertanya kepadanya, apakah beliau mengenali orang yang bertanya itu, jawab Umar:" Tidak wahai Rasulullah! Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahui."

Jawab Nabi s.a.w itulah dia Malaikat Jibril. Dia datang kepada kamu semua untuk mengajar kamu berkenaan agama kamu."

Inilah acuan yang telah melahirkan Hadharah Islamiyyah yang berjaya, tetapi acuan ini telah ditinggalkan. Pada zaman ini telah berlaku perkara yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. Negara-negara Teluk Parsi yang kaya dengan minyak dahulunya adalah kawasan pengembalaan kambing, begitu juga di daerah lain di dunia ini termasuklah Malaysia.

Kini manusia berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi oleh kalangan hartawan jadian untuk menunjuk-nunjuk kemewahan di tengah-tengah lautan manusia yang hidup terbiar dibelenggu kemiskinan dan kemelaratan.

---
Dinukil daripada buku 'Hadharah Islamiyyah, bukan Islam Hadhari' tulisan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, muka surat 115-121, terbitan Nufair Street, 2005.