IslamiCity.com Apabila membincangkan sebarang aspek peradaban Islam, matlamat yang akhir dan dasar kreatifnya mestilah dilihat sebagai berlandaskan Al-Quran, kitab suci Islam. Budaya Islam sebenarnya “budaya Al-Quran” kerana takrif, struktur, matlamat dan kaedah untuk mencapai matlamat budaya Islam itu semuanya dihasilkan daripada seni penurunan wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam abad ketujuh Masihi. Orang Islam tidaklah sekadar mendapatkan pengetahuan tentang kebenaran hakiki daripada Al-Quran. Perkara yang juga begitu mendesak dan memaksa adalah idea-idea Al-Quran tentang alam semula jadi, tentang manusia dan semua makhluk hidup yang lain, tentang pengetahuan, tentang institusi sosial, politik dan ekonomi yang diperlukan bagi mengendalikan masyarakat yang sihat. Pendeknya, semua ini meliputi setiap cabang pembelajaran dan aktiviti kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa dalam Al-Quran yang terdiri daripada 114 surah, terdapat prinsip-prinsip asas bagi keseluruhan budaya dan peradaban. Tanpa wahyu tentang prinsip-prinsip asal itu, budaya tidak dapat dibangunkan. Tanpa wahyu itu juga, mungkin tidak akan ada agama Islam, negara Islam, falsafah Islam, undang-undang Islam, masyarakat Islam mahupun organisasi politik dan ekonomi Islam. Seni peradaban Islam perlu juga dilihat sebagai pernyataan estetik yang berasaskan Al-Quran. Aspek budaya Islam ini harus dilihat sebagai mempunyai sifat-sifat Al-Quran dari segi asas dan motivasi. Begitulah juga seni peradaban Islam haruslah dilihat sebagai ungkapan estetika yang sama bentuknya dalam pelaksanaannya. Sesungguhnya kesenian Islam adalah kesenian Al-Quran. al-Faruqi. (1992). Atlas Budaya Islam.
QuranExplorer.com
rumah anak yatim
tanah impian

Followers

Friday, 15 October 2010

Sistem pendidikan dirombak

2010/10/16
Peruntukan RM6.4 bilion bentuk daya fikir, sahsiah, kreativiti pelajar

KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara akan dirombak dengan memberi penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi dan daya saing, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 bilion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

Sejumlah RM213 juta diperuntukkan sebagai ganjaran sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada pengetua atau guru besar dan guru cemerlang, katanya.

Bagi memantapkan pendidikan sekolah rendah dan menengah, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan menyediakan peruntukan RM250 juta untuk sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.

“Sebagai mengiktiraf pendidikan Islam, kerajaan bersetuju untuk membiayai bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan sebanyak RM95 juta.

“Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar yang kompiten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran,” katanya.

Sebanyak RM213 juta diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan bahasa Malaysia, mempersadakan bahasa Inggeris dan memperkemaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah.

“Kerajaan bersetuju mengambil 375 guru penutur jati, antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris,” katanya.
–Bernama

Fikh Kerahsiaan Wanita



Sesungguhnya Allah s.w.t telah menciptakan wanita sebagai makhluk yang menepati takhta keistimewaannya yang tersendiri.Kedatangan Islam tambah menjulang maruah wanita ke darjat yang sangat tinggi.Islam menyaksikan betapa jatidiri wanita mempunyai pengaruh yang sangat "vital" dalam proses kelangsungan kehidupan sejagat,malah prestasi sumbangannya menjadi indikator terpenting terhadap kualiti kesejahteraan hidup masyarakat.Tidak hairanlah,dengan kedudukan dan peranan yang begitu strategik,Islam memperuntukkan disiplin dan etika hidup khusus untuk kaum wanita demi memastikan kehormatan dan kebajikan dirinya terpelihara dengan sebaik mungkin.

Saidatina Aisyah r.a.,seorang "ikon" pejuang kemurniaan peribadi wanita,merupakan orang yang paling mendalam ilmunya di dalam bidang "fikh wanita". Jelas,buku ini tiadalah mampu menggantikan Saidatina Aisyah r.a. dalam merungkai permasalahan wanita,namun buku ini bertindak senagai petunjuk kepada hukum-hukum fikh yang khusus membicarakan persoalan alat sulit wanita bagi memimpin kaum wanita terus berada di dalam ketetapan syariat syumul Islam,secara tersusun,ringkas tetapi padat. InsyAllah.

Penulis : Dr.Saadudin Mus'ad Hilali
Terjemahan : Fauwaz Fadzil
Terbitan : Pelima Media Sdn Bhd

1. Mukasurat ~ 184 ms
2. Kulit Depan ~ Kulit Lembut
3. Saiz ~ 5.95in x 8in
4. Warna ~ Kandungan Bertulis Hitam Putih
5. Berat ~

* 1 naskah ~ 0.3 kg
* 10 naskah ~ 3.0kg
* 100 naskah ~ 30 kg

Buku 'wajib' dimiliki wanita
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah SAW ada menyebutkan: "Sebaik-baik perempuan itu ialah perempuan Ansar (penduduk asal Yathrib berbangsa Arab), mereka tidaklah malu untuk (belajar) perkara-perkara agama (Islam)".

Begitulah hendaknya bagi wanita-wanita Islam yang lainnya, tidak kira bangsa, warna kulit mahupun bangsa mereka mesti mencontohi kegigihan wanita dari golongan Ansar ini. Sebagaimana perintah dari ayat hadis yang sangat popular, Tallabu ilmi faridhatun 'ala kulli muslim! (Menuntut ilmu itu adalah wajib bagi Muslim)

Perkara-perkara agama di sini, tidak perlu dilihat dalam perspektif yang sempit. Ini kerana ia mencakupi apa juga tajuk selagi ia memberikan manfaat kepadanya dunia dan akhirat.

Bagi wanita Islam itu sendiri, mereka perlu mengenali diri mereka sendiri baik dari aspek bentuk fizikal sehinggalah hak-hak yang mereka harus nikmati dalam hidup ini.

Maka dengan adanya buku yang sebaik ini, iaitu Fikh Kerahsiaan Wanita, tugas untuk mengenali diri kaum ini menjadi lebih mudah. Ya, buku ini tidak sahaja sasaran pembacanya kepada kaum wanita sahaja, malah kaum lelaki pun, jika mereka membaca buku ini adalah lebih baik lagi.

Tidak dinamakan lelaki itu sebagai pemimpin yang baik kepada keluarga misalnya, jika tidak mengetahui apa juga permasalahan orang yang dipimpin dalam keluarganya itu, iaitu terutama isteri dan anak-anak perempuan.

Penulis buku ini merupakan Profesor Fikh Perbandingan, di Universiti al-Azhar, Mesir yang pada kulit buku ini dirangkumkan makna mengenai tajuk buku ini, iaitu: "…memahami secara jelas isu yang melibatkan rongga keintiman wanita (faraj) menurut syariat Islam. Persoalan 'dalaman' yang difahami oleh setiap wanita mukalaf dan para suami yang menjadi nakhoda rumahtangga. Bertanya mengenainya sering mengundang segan, kini dihidangkan secara jelas dan ringkas sebagai panduan hidup muslimah sejati!"

Sedangkan tidak perlu malu sebagaimana mengambil pengajaran hadis, iaitu: "Ummu Sulaim isteri kepada Abu Talhah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran, adakah menjadi kewajipan ke atas seorang wanita untuk mandi wajib apabila dia bermimpi (basah?) Lalu Nabi pun menjawab: "Ya (wajib mandi) apabila melihat air mani keluar".

Begitu pun jika masih malu maka buku ini adalah terbaik untuk dijadikan rujukan utama kerana mungkin yang paling terjawab adalah dalam bahasa Arab sebagai bahasa utama dalam semua aspek perundangan dan peraturan dalam Islam.

Tetapi mujurlah anak ulama terkenal negara, Allahyarham Fadzil Noor, Ahmad Fauwaz mengambil inisiatif yang sangat besar menterjemahkan tulisan pensyarah beliau ini ke Bahasa Malaysia. Beliau disifatkan sebagai anak yang taat kepada Dr. Saadudin di samping pelajar yang menghargai ilmu dan para ulama.

Ahmad Fauwaz mahu memastikan ilmu gurunya itu dapat disebar luaskan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pembaca seantero Asia Tenggara yang rata-rata bahasa ibundanya, Melayu.

Moga usaha Ahmad Fauwaz ini akan dicontohi oleh lebih ramai cerdik pandai demi menyedar dan memajukan ummahnya sendiri.

Buku ini dikatakan lengkap kerana ia begitu menyentuh setiap aspek hukum hakam membabitkan maslahah wanita Islam.

Walaupun dalam lingkungan 184 muka surat tetapi ia sarat dengan pelbagai perbincangan penting mengenai aurat-aurat wanita yang ada padanya pelbagai fiqh dan hukum yang wajib diketahui.

Dibahagikan kepada lima bahagian atau topik utama, iaitu;

* Hukum Bersuci, aurat dan berkhatan terhadap faraj wanita - menyentuh soal lelehan (discharge) faraj, aurat faraj dan khatan wanita.

* Hadas-hadas yang keluar melalui faraj - menyentuh hadas wuduk, hadas junub dan hadas dari darah-darah yang keluar (seperti haid, nifas dan istihadah)

* Hukum bersetubuh - menyentuh bersetubuh ketika wanita hamil dan hukum azal,

* Hukum-hukum berkaitan dengan wanita hamil, idah (cerai hidup mahupun mati) dan menggugurkan kandungan kehamilan.

* Hukum melakukan jenayah ke atas kemaluan wanita.

Topik-topik tersebut sangat relevan dengan kehidupan seharian seorang wanita dan malangnya ramai yang tidak mengetahui.

Ini termasuklah adakah mereka jelas mengenali perbezaan air mani, air mazi dan lain-lain jenis lelehan yang keluar, adakah dengan menyentuh faraj wanita lain, wuduk seseorang wanita itu turut terbatal?

Pelbagai persoalan mengenai darah haid, nifas dan darah-darah penyakit yang sering menimbulkan pelbagai kemusykilan kepada kaum wanita (dan kaum lelaki juga perlu ketahui).

Apa itu al Ghilaah, pembahagian atau jenis-jenis idah sehinggalah adakah wanita yang mati dalam keadaan hamil disifatkan sebagai mati syahid?

Segala persoalan mengenai wanita dijadikan maklumat-maklumat yang sangat penting dan menarik dalam buku ini.

Jaminan pemahaman 100 peratus terhadap pembaca sehinggakan tidak perlu merujuk secara bersemuka dengan yang pakar tidak dapat diberi.

Namun, sekurang-kurangnya ia memberi asas pengetahuan yang kuat malah mereka yang membaca buku ini pasti mampu menyebar atau berkongsi maklumat kepada kaumnya sendiri.

Tetapi jika dapat memanjangkan persoalan untuk dirujuk kepada yang lebih pakar adalah lebih baik. Ini kerana yang menulis mungkin tidak memahami sesetengah perkara yang membezakan wanita Islam mengikut negara.

Wanita di Malaysia mungkin tidak sama persoalan dan masalah yang mereka hadapi berbanding wanita Islam di Mesir misalnya.

Persoalan mengenai aurat-aurat wanita ini tidak boleh dianggap enteng. Ini kerana Islam sangat memartabatkan golongan wanita berbanding sesetengah masyarakat lain yang melihat wanita sebagai golongan rakyat kelas kedua, tanpa dipedulikan segala permasalahan mereka sehinggakan untuk menuntut apa-apa yang sepatutnya menjadi hak dianggap tidak layak!

Abu Jahal

ABU Jahal atau namanya yang sebenar adalah Abu Hakam bin Syams. Beliau adalah pemimpin Quraisy yang sangat kuat dalam menentang usaha Rasulullah SAW untuk menyebarkan Islam.

Beliau mendapat gelaran Abu Jahal kerana sikapnya yang jahil dengan kebenaran.

Apabila beliau mendengar bahawa Rasulullah serta umat Islam di Madinah cuba menyekat kafilah Abu Sufian, beliaulah orang yang paling lantang mengapi-apikan permusuhan kaumnya dengan Rasulullah.

Abu Jahal selalu memaki dan memburuk-burukkan Rasulullah di hadapan kaumnya. Beliau sangat sombong dan selalu bercakap besar.

Beliau pernah berkata bahawa, beliau dan pengikut-pengikutnya tidak akan kembali sebelum tiba di Badar.

Mereka akan tinggal di sana selama tiga hari tiga malam, berpesta dengan riang ria sambil memotong kambing dan meminum khamar (arak), serta dihiburkan dengan syair-syair merdu yang dinyanyikan oleh wanita-wanita yang dibawa oleh mereka.

Semasa dalam Perang Badar, beliau dikawal oleh tentera-tentera yang ditugaskan khas untuk mengawalnya.

Abdul al-Rahman bin Auf menceritakan bahawa telah datang kepadanya dua orang pemuda iaitu Muaz bin Amru dan Muawiz bin Afra bertanyakan perihal Abu Jahal. Lalu ditunjukkan kepada mereka kedudukan Abu Jahal.

Berlakulah pertembungan yang sengit antara kedua-dua pemuda itu dengan Abu Jahal. Muaz terus memukul dan memenggal separuh daripada kaki Abu Jahal.

Tiba-tiba anak Abu Jahal telah menetak sebelah tangannya sehingga terkulai, lalu Muaz mengheret tangannya yang tergantung itu dan ditanggalkan terus daripada badannya.

Muaz pun terus mengasak Abu Jahal dengan pedangnya sehingga terhumban jatuh dan hampir menemui ajal. Sementara Muawiz pula terus berperang sehingga gugur sebagai seorang syahid.

Setelah selesai peperangan, Rasulullah memerintahkan orang-orang Islam supaya mencari Abu Jahal. Akhirnya Abdullah bin Mas'ud menjumpai Abu Jahal yang ketika itu masih dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Abdullah meletakkan kakinya ke atas leher Abu Jahal dan memegang janggut beliau lalu memenggal kepala Abu Jahal dan dibawa ke hadapan Rasulullah.

Lalu baginda pergi ke tempat jasad Abu Jahal yang tersadai itu dan berkata, "Inilah dia Firaun umat ini".

Melihat kepala Abu Jahal itu maka, Rasulullah SAW pun turun dari tunggangan baginda. Rasulullah mengadakan sujud syukur serta memuji kebesaran Allah SWT apabila musuh nombor satu Islam itu akhirnya mati di tangan tentera Islam.

Kematian Abu Jahal bermakna lumpuhnya kepimpinan kaum Musyrikin Quraisy Mekah. Sehingga kini nama Abu Jahal masih disebut-sebut sebagai orang yang menjadi musuh Rasulullah. Begitulah tragisnya kematian Abu Jahal di tangan tentera Muslimin.
(UM)

Fakta Abu Jahal
-pemimpin Quraisy
-menentang (musuh) Rasulullah SAW dan umat Islam
-jahil dengan kebenaran
-mengapi-apikan permusuhan
-memaki dan memburukkan Rasulullah
-sangat sombong
-selalu bercakap besar
-suka berpesta
-meminum khamar (arak)
-suka dihiburkan (nyanyian oleh wanita-wanita)
-digelar Firaun

Intipati Bajet 2011

KUALA LUMPUR: Berikut ialah intipati Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, hari ini:

* Pembinaan projek pembangunan bercampur termasuk kediaman mampu milik bernilai RM10 bilion di Sungai Buloh yang dijangka siap pada 2025.

* Pembinaan projek bersepadu "Warisan Merdeka" dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.

* Pembangunan Zon Akuakultur Bersepadu di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak dengan peruntukan RM252 juta.

* Peruntukan RM135 juta bagi persediaan prasarana asas menggalakkan petani menceburi bidang bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit.

* Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat dalam aktiviti pengeluaran bahan makanan sehingga 2015.

* RM85 juta untuk membina kemudahan infrastruktur bagi membolehkan hotel dan pusat peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong.

* RM50 juta bagi membina beberapa laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang.

* Pembangunan pusat peranginan bersepadu eco-nature pertama di dunia bernilai RM3 bilion oleh Nexus Karambunai di Sabah bermula tahun depan.

* Pemansuhan duti import ke atas 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan pada kadar lima peratus sehingga 30 peratus bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di Asia.

* RM119 juta untuk membangunkan penciptaan kandungan tempatan, hosting kandungan tempatan dan pembukaan saluran baru untuk kandungan.

* Pengecualian cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit.

* RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan untuk mempercepatkan pembangunan koridor dan wilayah.

* RM411 juta untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan sebagai landasan peningkatan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi.

* Penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM71 juta bagi tahun depan untuk mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan.

* RM200 juta untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.

* Kadar cukai perkhidmatan dicadang dinaikkan satu peratus kepada enam peratus untuk menjamin kesejahteraan masa hadapan negara.

* Cukai perkhidmatan juga dicadang dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran TV berbayar.

* Meningkatkan penguatkuasaan dan pengauditan serta memperluaskan liputan ke atas semua pihak yang sepatutnya membayar cukai bagi memantapkan kutipan hasil.

* Menyusun semula dan memperkukuhkan aspek pendidikan dan latihan dengan belanja mengurus RM29.3 bilion untuk Kementerian Pelajaran, RM10.2 bilion (Kementerian Pengajian Tinggi) dan RM627 juta (Kementerian Sumber Manusia).

* Menubuhkan "Talent Corporation" di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal 2011 untuk membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.

* RM212 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2011 iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2010.

* Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.2 bagi perbelanjaan pembangunan.

* Di bawah peruntukan mengurus, RM45.6 bilion adalah bagi emolumen dan RM28.2 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan, RM86.4 billion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenakan Bayaran Tetap.

* Sejumlah RM1.4 bilion disediakan untuk pembelian aset dan RM1.2 bilion untuk perbelanjaan lain.

* Bagi peruntukan pembangunan, RM28.3 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.

* Sejumlah RM15.5 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM955 juta bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi 2011, jumlahnya dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion berbanding RM162.1 bilion pada 2010.

* Defisit Kerajaan Persekutuan bagi 2011 dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada KDNK berbanding 5.6 peratus pada 2010.

* Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 billion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

* RM213 juta lagi dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang.

* Pendaftaran prasekolah akan ditingkatkan dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan ijazah.

* RM111 juta diperuntukkan bagi program PERMATA antaranya bagi pembinaan fasa 2 Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang sudah siap.

* RM250 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.

* Kerajaan juga bersetuju membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta sebagai mengiktiraf pendidikan Islam.

* Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.

* Sejumlah RM213 juta diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan kurikulum standard sekolah rendah.

* Kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris.

* Peratusan staf akademik berkelulusan PhD ditambah kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan RM20 juta.

* Skim Rumah Pertamaku dengan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

* Menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah untuk pekerja estet oleh BSN.

* Program Bantuan Rumah (12,000 unit) untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan RM300 juta.

* Mewujudkan "Portal 1Malaysia Pengguna Bijak".

* Memperkenalkan Program Pengedaran Barang Perlu bagi menyeragamkan harga barangan.

* Memperkenalkan Program Transformasi Kedai Runcit, Bengkel Automotif dan Projek Pasar Komuniti.

* Melancarkan Dana Pencen Swasta.

* Melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera bernilai RM1 bilion dan patuh syariat.

* Menyediakan multivitamin untuk pelajar sekolah rendah seluruh negara.

* Meneruskan program subsidi bayaran bil elektrik bagi penggunaan bawah RM20 sebulan.

* Kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Bhd tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta.

* Mengkaji semula had minimum kebankrapan yang pada masa ini berjumlah RM30,000.

* Permohonan PR boleh dilakukan selepas lima tahun.

* Menyediakan empat bas sebagai Klinik Bergerak.

* Merangka Model Baru Pembangunan Orang Asli dan Pribumi.

* Memperkukuh JHEOA dengan mentransformasi kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli.

- (BERNAMA)

PTK mansuh

Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecepatan (PTK) untuk kakitangan awam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, PTK akan digantikan dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima oleh penjawat awam menjelang Jun 2011.

Beliau menegaskan demikian ketika membentangkan bajet 2011 di Dewan Rakyat petang ini.

Keputusan itu dibuat dalam usaha berterusan menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambilkira maklumbalas para penjawat awam.

Katanya, penjawat awam selaku pelaksana dasar adalah komponen yang amat penting dalam usaha negara merealisasikan wawasan kebangsaan.

"Tanpa agen pelaksana yang cekap, berkesan dan dinamik, wawasan negara akan hanya tinggal sekadar matlamat murni", tegas perdana menteri.

Rasa tidak puas hati berkaitan PTK tidak sahaja bangkit dari kakitangan bawahan, malah sehingga peringkat pegawai kanan kerajaan.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu PTK dikaji semula termasuk dari segi kenaikan pangkat dengan tidak hanya mengutamakan mereka yang lulus cemerlang tahap empat sahaja.

Sebaliknya, Presidennya, Omar Osman dilaporkan berkata penjawat awam yang lulus tahap tiga namun berpengalaman dan menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang, juga perlu diberikan keutamaan untuk kenaikan pangkat.

Katanya, ini kerana sejak PTK diperkenalkan pada 2002, kakitangan lama memang sukar untuk mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PTK berbanding kakitangan muda.

Mengikut sistem PTK, mereka yang lulus tahap empat layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat dan anjakan gaji manakala lulus tahap tiga layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat.

Ramai kakitangan lama yang berpengalaman, sukar menikmati kenaikan pangkat disebabkan lulus tahap tiga dan terpaksa bersaing dengan mereka yang lulus cemerlang tahap empat. (MK)