IslamiCity.com Apabila membincangkan sebarang aspek peradaban Islam, matlamat yang akhir dan dasar kreatifnya mestilah dilihat sebagai berlandaskan Al-Quran, kitab suci Islam. Budaya Islam sebenarnya “budaya Al-Quran” kerana takrif, struktur, matlamat dan kaedah untuk mencapai matlamat budaya Islam itu semuanya dihasilkan daripada seni penurunan wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam abad ketujuh Masihi. Orang Islam tidaklah sekadar mendapatkan pengetahuan tentang kebenaran hakiki daripada Al-Quran. Perkara yang juga begitu mendesak dan memaksa adalah idea-idea Al-Quran tentang alam semula jadi, tentang manusia dan semua makhluk hidup yang lain, tentang pengetahuan, tentang institusi sosial, politik dan ekonomi yang diperlukan bagi mengendalikan masyarakat yang sihat. Pendeknya, semua ini meliputi setiap cabang pembelajaran dan aktiviti kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa dalam Al-Quran yang terdiri daripada 114 surah, terdapat prinsip-prinsip asas bagi keseluruhan budaya dan peradaban. Tanpa wahyu tentang prinsip-prinsip asal itu, budaya tidak dapat dibangunkan. Tanpa wahyu itu juga, mungkin tidak akan ada agama Islam, negara Islam, falsafah Islam, undang-undang Islam, masyarakat Islam mahupun organisasi politik dan ekonomi Islam. Seni peradaban Islam perlu juga dilihat sebagai pernyataan estetik yang berasaskan Al-Quran. Aspek budaya Islam ini harus dilihat sebagai mempunyai sifat-sifat Al-Quran dari segi asas dan motivasi. Begitulah juga seni peradaban Islam haruslah dilihat sebagai ungkapan estetika yang sama bentuknya dalam pelaksanaannya. Sesungguhnya kesenian Islam adalah kesenian Al-Quran. al-Faruqi. (1992). Atlas Budaya Islam.
QuranExplorer.com
rumah anak yatim
tanah impian

Followers

Tuesday 27 July 2010

...satu purnama...

Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di masa hadapan. Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.(20 Jun 2010)

Keputusan mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak boleh dibuat terburu-buru kerana ia adalah keputusan besar membabitkan masa depan anak-anak bangsa. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata walaupun ketika ini banyak pihak memberi maklum balas positif kepada pemansuhan kedua-dua peperiksaan umum itu, kerajaan perlu menyediakan perancangan alternatif jika ia benar-benar dimansuhkan. (20 Julai 2010)

Wakil politik, pendidikan mahu UPSR, PMR dikekalkan

Sebahagian wakil politik dan pendidikan yang menyertai perbincangan meja bulat kali kedua mengenai cadangan pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hari ini, cenderung kepada pengekalan kedua-dua peperiksaan itu tetapi dengan beberapa penambahbaikan.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rahman Arshad, berkata segala pendapat yang diberikan pada perbincangan hari ini amat baik, boleh dikatakan sebahagian bersetuju dimansuhkan dan sebahagian lagi beranggapan perlu dikekalkan tetapi dengan beberapa perubahan.

"Ada juga pendapat mahu UPSR dihapuskan dan kekalkan PMR dan ada juga yang berpendapat sebaliknya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata banyak juga wakil berpendapat apa juga perubahan atau pemansuhan yang akan dilaksanakan, penekanan kepada kualiti guru perlu dititikberatkan.

"Terdapat juga cadangan agar kemahiran teknikal perlu diperkenalkan sebaik selepas UPSR, jangan tunggu terlalu lama kerana jika selepas tingkatan empat baru diperkenalkan, masanya terlalu singkat," katanya.

Berorientasi peperiksaan

Profesor Emeritus Datuk Isahak Haron dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) berkata, kedua-dua peperiksaan itu tidak perlu dimansuhkan tetapi perlu diubah pendekatan serta fungsinya kerana fungsi sekarang lebih berorientasikan peperiksaan.

"Kekalkan UPSR dan PMR berdasarkan pendekatan rujukan-norma yang sedia ada dan mengekalkan fungsi pendidikan di sekolah sebagai alat pemilihan seperti sekarang," katanya.

Isahak yang juga pakar rujuk Majlis Perundingan Melayu, turut mencadangkan UPSR dan PMR dikekalkan sebagai peperiksaan awam tetapi penaksirannya dibuat berdasarkan ''standard-based assesment'' ke arah menentukan kualiti pendidikan negara.

"Atau pun memansuhkan UPSR dan PMR dan biarkan sekolah masing-masing melaksanakan peperiksaan atau penaksiran, tidak ada peperiksaan atau penaksiran awam untuk melihat secara makro sejauh mana pelajar kita menerima pendidikan yang diharapkan.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga dan Pengurus Sekolah China Malaysia (Dong Zong), Poh Chin Chua berpendirian bahawa pendidikan peringkat rendah memerlukan satu sistem penilaian standard untuk seluruh negara memandangkan keadaan yang unik di negara ini.

Formula alternatif

"Jadi sebelum UPSR dimansuhkan, Kementerian Pelajaran seharusnya mengumumkan satu formula alternatif yang baru agar masyarakat umum dapat meneliti dan mengkaji secara mendalam, lalu mengemukakan maklum balas yang membina untuk rujukan kementerian pula," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran tidak harus membuat keputusan dengan tergesa-gesa mengenai pemansuhan UPSR, malah seharusnya mengumumkan formula alternatif terlebih dahulu dan mendengar pandangan pelbagai lapisan masyarakat secara menyeluruh.

"Keputusan sama ada UPSR dimansuhkan atau tidak boleh ditetapkan kemudian. Sebelum terhasilnya formula alternatif baru yang mendapat sokongan umum, seluruh masyarakat persatuan kami dengan tegasnya tidak menyetujui langkah kementerian memansuhkan UPSR," katanya.

Pengerusi Biro Pendidikan MIC Tan Sri T Marimuthu berkata kedua-dua peperiksaan terutamanya UPSR perlu dikekalkan untuk menilai produktiviti sekolah dan pelajar di negara ini.

"Lebih penting daripada memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu, kita seharusnya memperbaiki sistem penilaian sedia ada dan memfokuskan kepada pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan seharusnya menjalankan kajian terperinci terlebih dulu berhubung pemansuhan kedua-dua peperiksaan berkenaan dan mencari sistem alternatif yang lebih baik sekiranya mahu memansuhkannya.

Perbincangan meja bulat kali kedua itu dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, disertai 75 termasuk wakil politik, tokoh pendidikan, pemimpin pelajar, badan bukan kerajaan, wakil pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, pegawai tinggi Kementerian Pelajaran, wartawan dan wakil daripada industri buku.

- Bernama

Guru siswazah dibenarkan berpolitik semula

Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad," kata Mohd Sidek.

Beliau berkata syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.

- Bernama