IslamiCity.com Apabila membincangkan sebarang aspek peradaban Islam, matlamat yang akhir dan dasar kreatifnya mestilah dilihat sebagai berlandaskan Al-Quran, kitab suci Islam. Budaya Islam sebenarnya “budaya Al-Quran” kerana takrif, struktur, matlamat dan kaedah untuk mencapai matlamat budaya Islam itu semuanya dihasilkan daripada seni penurunan wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam abad ketujuh Masihi. Orang Islam tidaklah sekadar mendapatkan pengetahuan tentang kebenaran hakiki daripada Al-Quran. Perkara yang juga begitu mendesak dan memaksa adalah idea-idea Al-Quran tentang alam semula jadi, tentang manusia dan semua makhluk hidup yang lain, tentang pengetahuan, tentang institusi sosial, politik dan ekonomi yang diperlukan bagi mengendalikan masyarakat yang sihat. Pendeknya, semua ini meliputi setiap cabang pembelajaran dan aktiviti kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa dalam Al-Quran yang terdiri daripada 114 surah, terdapat prinsip-prinsip asas bagi keseluruhan budaya dan peradaban. Tanpa wahyu tentang prinsip-prinsip asal itu, budaya tidak dapat dibangunkan. Tanpa wahyu itu juga, mungkin tidak akan ada agama Islam, negara Islam, falsafah Islam, undang-undang Islam, masyarakat Islam mahupun organisasi politik dan ekonomi Islam. Seni peradaban Islam perlu juga dilihat sebagai pernyataan estetik yang berasaskan Al-Quran. Aspek budaya Islam ini harus dilihat sebagai mempunyai sifat-sifat Al-Quran dari segi asas dan motivasi. Begitulah juga seni peradaban Islam haruslah dilihat sebagai ungkapan estetika yang sama bentuknya dalam pelaksanaannya. Sesungguhnya kesenian Islam adalah kesenian Al-Quran. al-Faruqi. (1992). Atlas Budaya Islam.
QuranExplorer.com

Followers

Thursday, 24 June 2010

Pengambilan Guru Wajar Dilaksanakan Terus Oleh SPP - KSN

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan Khamis menyarankan supaya proses pengambilan guru perlu dipermudahkan dan dilaksanakan secara terus oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Katanya langkah itu wajar kerana pada masa sekarang, semakin ramai siswazah berminat untuk mengikuti kursus Diploma Pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Beliau berkata melalui cadangan itu, calon guru tidak perlu lagi melalui proses lantikan Kementerian Pelajaran sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST).

"Tindakan ini boleh dilaksanakan dahulu dalam opsyen tertentu khususnya kepada calon yang mengikuti kursus Diploma Pendidikan di IPTA," katanya ketika menutup Persidangan Perkhidmatan Pendidikan di sini Khamis.

"Namun, walaupun proses dipermudahkan, aspek kualiti pastinya tidak boleh ditolak ansur, malah dipertingkatkan lagi," katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi SPP Datuk Kusaini Hasbullah.

Mohd Sidek turut menyarankan agar SPP, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mengintegrasikan pangkalan maklumat masing-masing bagi membolehkan ketiga-tiga pihak itu berkongsi maklumat secara pintar.

Misalnya, katanya SPP boleh mengendalikan urusan pengambilan dan perkhidmatan dengan lebih cepat dan cekap kerana maklumat tentang guru-guru pelatih dapat dicapai daripada sistem maklumat Kementerian Pelajaran.

Seterusnya, beliau berkata Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dapat membuat analisa serta mengambil tindakan yang proaktif berasaskan maklumat yang boleh dicapai daripada sistem maklumat di SPP.

Beliau percaya faedah yang dapat dinikmati oleh ketiga-tiga pihak berkenaan amat besar apabila sistem maklumat kesemua agensi yang menguruskan hal ehwal perkhidmatan pelajaran dapat berkomunikasi antara satu sama lain dengan lancar tanpa sekatan.

"Justeru, diharapkan supaya integrasi sistem maklumat ketiga-tiga pihak akan dilaksanakan dengan segera.

"Dalam hal ini, khidmat nasihat kepakaran yang terdapat di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) hendaklah digembleng bagi menerajui komitmen mengintegrasikan sistem maklumat SPP dengan kementerian-kementerian yang berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan infrastruktur sehingga ke tahap mega dalam bidang pendidikan perlu difikirkan semula.

Beliau berkata bagi memperkasakan bidang pendidikan, adalah lebih baik tumpuan pembangunan diberikan kepada "software" atau pengisian pendidikan itu sendiri.
-BERNAMA