27/03/2012 1:45pm
KUALA LUMPUR 27 Mac – Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan telah mencadangkan beberapa subjek berkaitan seni budaya dan apriasi seni di sekolah diteliti semula bagi menanam minat dan cinta kepada seni pada kalangan pelajar.
Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, perkara itu telah diusulkan kepada Kementerian Pelajaran dan dirancang akan dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun hadapan jika cadangan diterima.
"Sistem pendidikan kita sebenarnya tidak ada mengajar anak-anak supaya cinta kepada seni. Ini saya lalui sendiri dan mendapati asakan dan galakan untuk mencintai seni itu tidak ada.
"Seni sebenarnya berkembang di tanah air kita secara kebetulan dan kita perlu ada sistem yang menggalakkan fesyen, rekaan, penulisan kreatif dan sebagainya, yang boleh dimajukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Tekstil Sedunia sempena sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2012, di sini hari ini.
Simposium yang bertemakan “Memperkayakan Komuniti Melalui Inovasi Kraf"
tersebut berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dan disertai kira-kira 400 peserta dari dalam dan luar negara.
Rais berkata, badan seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serta Institut Kemahiran Kraf akan mencari jalan dan kaedah untuk menghidupkan seni itu daripada segi pendidikan dalaman atau luaran.
"Saya lihat di China misalnya, ada sekolah seni dan mereka diajar bagaimana untuk berlumba dalam dunia seni dan cinta kepada seni itu sehingga kepada tahap yang boleh dijadikan sebagai mata pencarian,” katanya.
Ditanya sama ada itu akan dilaksanakan di peringkat sekolah rendah atau menengah, beliau berkata, banyak aspek yang perlu dibincangkan dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum dilaksanakan di peringkat yang munasabah. - BERNAMA
Followers
Tuesday, 27 March 2012
Subscribe to:
Posts (Atom)