Alias Mohd Yusof (HD)
Tujuan asal penubuhan Sekolah Asrama Penuh adalah untuk menempatkan murid-murid yang miskin tetapi cemerlang dalam pelajaran. Jika murid-murid miskin ini tidak dibantu dan diletakkan di Sekolah Asrama Penuh, mereka mungkin akan tercicir dari sekolah kerana terpaksa bekerja untuk membantu keluarga mereka.
Di peringkat awalnya hanya ada beberapa buah Sekolah Asrama Penuh sahaja ketika itu, seperti Sekolah Alam Shah dan Sekolah Kolam Ayer (Seri Puteri) di Kuala Lumpur. Selain mereka tinggal di asrama, diberi buku dan makan percuma, mereka juga diberi wang saku oleh kerajaan. Publisiti yang begitu meluas oleh media terhadap kejayaan akademik sekolah-sekolah asrama penuh ini bila setiap kali keputusan SPM keluar menjadi orang ramai teruja untuk memasuki sekolah ini. Akhirnya sekolah ini telah bertukar menjadi sekolah elit bagi menempatkan murid-murid yang lulus cemerlang dalam peperiksaan UPSR tanpa mengira golongan miskin atau pun kaya.
Orang ramai berasa bangga kalau anak-anak mereka dapat masuk ke sekolah-sekolah asrama penuh ini. Walaupun di masa sekarang tidak semua diberikan percuma, tetapi ibubapa masih berlumba-lumba mahu menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Asrama Penuh. Malah kos bersekolah di Sekolah Asrama Penuh jauh lebih tinggi berbanding jika bersekolah di sekolah biasa berhampiran rumah mereka, dan ini sedikit pun tidak menghalang ibubapa untuk terus menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Asrama Penuh.
Keghairahan orang ramai untuk menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Asrama Penuh memberi kesan yang buruk kepada sistem pendidikan kita. Kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk mendirikan asrama dan tempat tinggal, suatu perbelanjaan yang tidak perlu. Dalam keghairahan mengejar gred A, pusat-pusat tuisyen tumbuh dengan banyaknya dan membuat keuntungan yang lumayan, hasilnya murid-murid kita hanya pandai menghafal langkah-langkah penyelesaian setiap soalan peperiksaan tetapi tidak menggunakan fikiran untuk menyelesaikannya. Akhirnya murid-murid kita ramai jadi robot yang hanya mampu ikut arahan tetapi tidak boleh berfikir.
Oleh itu peperiksaan UPSR tidak lagi dapat mengasingkan murid-murid yang benar-benar pintar, yang boleh berfikir dengan murid-murid yang hanya boleh menghafal. Anak-anak yang baru berumur 13 tahun ini juga adalah terlalu awal dipisahkan hidup dari keluarga mereka, ini juga boleh memberi kesan psikologi dan tabiat kurang baik kepada sikap pergaulan mereka kepada kehidupan kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Oleh itu perlukah Sekolah Asrama Penuh?
Oleh kerana persepsi masyarakat mengatakan Sekolah Asrama Penuh dapat menjamin anak-anak mereka boleh lulus cemerlang dalam SPM. Oleh itu ia boleh menjadi perangsang kepada anak-anak untuk memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR. Mungkin ada yang berfikir, untuk apa dapat 5A dalam peperiksaan UPSR kalau tidak dapat apa-apa faedah. Dapat masuk Sekolah Asrama Penuh itu seperti dapat satu hadiah besar kepada mereka yang dapat 5A.
Tanpa adanya Sekolah Asrama Penuh akan melunturkan semangat ibubapa untuk memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran. Sekolah Asrama Penuh juga baik untuk disiplin anak-anak mereka. Kalau di sekolah biasa, anak-anak mudah terdedah dengan anasir-anasir samseng dan berkawan dengan murid-murid yang ada masalah disiplin.
Saya amat setuju jika UPSR digunakan untuk tujuan masuk ke Sekolah Asrama Penuh dihapuskan. Sekolah Asrama Penuh mesti dihapuskan. Sebaliknya , adalah lebih baik Sekolah Asrama Penuh digunakan untuk mengumpulkan murid-murid yang ada masalah disiplin berat. Mereka perlu diasingkan supaya tidak mengganggu murid-murid lain yang mahu belajar di sekolah biasa. Biarkanlah murid-murid yang dapat 5A dalam UPSR terus belajar disekolah biasa tanpa diganggu oleh murid-murid samseng yang telah diasingkan itu. Adalah lebih baik murid-murid yang dapat 5A ini berada di sekolah biasa kerana ia akan dapat membantu sekolah untuk lebih berjaya dalam bidang akademik.
No comments:
Post a Comment