IslamiCity.com Apabila membincangkan sebarang aspek peradaban Islam, matlamat yang akhir dan dasar kreatifnya mestilah dilihat sebagai berlandaskan Al-Quran, kitab suci Islam. Budaya Islam sebenarnya “budaya Al-Quran” kerana takrif, struktur, matlamat dan kaedah untuk mencapai matlamat budaya Islam itu semuanya dihasilkan daripada seni penurunan wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam abad ketujuh Masihi. Orang Islam tidaklah sekadar mendapatkan pengetahuan tentang kebenaran hakiki daripada Al-Quran. Perkara yang juga begitu mendesak dan memaksa adalah idea-idea Al-Quran tentang alam semula jadi, tentang manusia dan semua makhluk hidup yang lain, tentang pengetahuan, tentang institusi sosial, politik dan ekonomi yang diperlukan bagi mengendalikan masyarakat yang sihat. Pendeknya, semua ini meliputi setiap cabang pembelajaran dan aktiviti kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa dalam Al-Quran yang terdiri daripada 114 surah, terdapat prinsip-prinsip asas bagi keseluruhan budaya dan peradaban. Tanpa wahyu tentang prinsip-prinsip asal itu, budaya tidak dapat dibangunkan. Tanpa wahyu itu juga, mungkin tidak akan ada agama Islam, negara Islam, falsafah Islam, undang-undang Islam, masyarakat Islam mahupun organisasi politik dan ekonomi Islam. Seni peradaban Islam perlu juga dilihat sebagai pernyataan estetik yang berasaskan Al-Quran. Aspek budaya Islam ini harus dilihat sebagai mempunyai sifat-sifat Al-Quran dari segi asas dan motivasi. Begitulah juga seni peradaban Islam haruslah dilihat sebagai ungkapan estetika yang sama bentuknya dalam pelaksanaannya. Sesungguhnya kesenian Islam adalah kesenian Al-Quran. al-Faruqi. (1992). Atlas Budaya Islam.
QuranExplorer.com

Followers

Sunday, 10 October 2010

Asbestos: Debu pembunuh senyap

Dalam beberapa minggu yang lalu, kebimbangan berhubung keracunan asbestos telah ditimbulkan di dalam media cetak tempatan dan sememangnya ia benar!

Bahan serat yang berlaku secara semula jadi ini dengan ketahanan terhadap haba panas dan api telah dikenal pasti sebagai ancaman serius kepada nyawa manusia di Negara Barat dan seberapa boleh yang mungkin hendaklah dielakkan sama sekali.

Mereka yang bekerja dengan asbestos berisiko mengalami kanser paru-paru, asbestosis, mesothelioma dan kematian akibat penyakit pernafasan. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan bahawa 100,000 pekerja mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan asbestos. Manakala beribu lagi terkorban daripada pendedahan dalam alam sekitar.

Serat asbestos kuat dan biasanya ditemui dalam siling, jubin lantai, paip air dan brek kenderaan. Asbestos satu ketika dulu dianggap sebagai bahan bangunan yang utama tetapi kini dikenali sebagai salah satu pembunuh di tempat kerja yang terbesar.

Asbestos juga termasuklah chrysotile, amosite, crocidolite, asbestos tremolite, asbestos anthophyllite, asbestos actinolite, dan sebarang daripada bahan ini yang telah dirawat dan atau diubah suai secara kimia.

Asbestos menjadi bahan berbahaya apabila ia diganggu, menyebabkan seratnya berterbangan di udara. Ini biasanya dirujuk sebagai asbestos repui, manakala asbestos yang masih dalam keadaan baik dirujuk sebagai asbestos tidak repui.

Asbestos repui bawaan udara disedut ke dalam paru-paru mereka yang terdedah kepadanya. Sehingga hari ini, penyelidik masih belum menetapkan paras selamat pendedahan kepada asbestos tetapi satu perkara yang pasti lebih lama terdedah kepadanya, lebih besar risiko mendapat penyakit berkaitan asbestos.

Sebab itulah keracunan asbestos sering dipanggil penyakit bahaya pekerjaan, kerana mereka yang biasanya bekerja dengan bahan ini kebanyakannya berisiko mendapat penyakit berkaitan asbestos.

Pegawai kesihatan telah memberi amaran bahawa pendedahan kepada asbestos secara meluas akan mengakibatkan wabak mesathelioma, kanser paru-paru dan asbestosis.

Di samping penyakit yang membunuh ini, panel 27 pakar yang bersidang bersama Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bukti baru bahawa asbestos menyebabkan kanser larinks dan ovari.

Lebih membimbangkan ialah ramalan oleh Dr James Leigh, Pengarah Pusat Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar, Sekolah Kesihatan Awam Sydney, Australia yang telah bersara, bahawa akan terdapat 5 hingga 10 juta kematian akibat kanser berkaitan asbestos menjelang 2030.

Ia juga membimbangkan bahawa agensi kesihatan antarabangsa seperti WHO, ILO dan IARC bersetuju bahawa tidak terdapat paras selamat terhadap pendedahan kepada asbestos. Walaupun begitu, bumbung bahan asbestos, paip simen asbestos dan produk mengandungi asbestos lain masih digunakan dengan meluas di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Apa yang membimbangkan kepada pengguna ialah tidak terdapat sebarang keprihatinan terhadap kesihatan mereka kerana dibekalkan dengan air melalui paip simen asbestos.

Malaysia tidak mempunyai sebarang program khusus untuk menggantikan paip simen asbestos. Malah jika terdapat sedikit bukti karsinogenisiti asbestos yang dihadamkan, langkah berhati-hati mestilah diambil dengan menggantikan paip simen asbestos lama dengan bahan gentian yang lebih selamat.

Memandangkan bahaya asbestos, 54 negara di seluruh dunia telah mengenakan pengharaman, menghadkan atau mengecualikan untuk penggunaan kecil asbestos. Di Malaysia, hanya crocidolite (asbestos biru) dilarang tetapi penggunaan chrysotile (asbestos putih), amosite (asbestos perang), tremolite, anthophyllite dan actinolite dibenarkan.

Memandangkan kepentingan untuk memelihara keselamatan awam dan pekerja yang mengendalikan asbebstos, CAP menggesa supaya diharamkan sepenuhnya bahan ini. Kami memahami bahawa kerajaan Malaysia sedang mengkaji untuk melaksanakan pengharaman tetapi apa yang membimbangkan kami ialah proses ini akan mengambil masa yang panjang.

Di samping mengenakan pengharaman ke atas asbestos, kerajaan Malaysia mestilah mewujudkan pendaftaran kebangsaan untuk asbestosis dan mesothelioma, diagnosis awal terhadap penyakit berkaitan asbestos dan melaksanakan skim pampasan pekerja.

Kerajaan juga mestilah mengadakan program pendidikan dan kesedaran asbestos untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai, kontraktor, mekanik, pemasang paip dan pekerja umum mengenai bahaya asbestos dan untuk menggalakkan pematuhan terhadap peraturan dan amalan pengurusan asbestos yang selamat.

Kita juga memerlukan buruh mahir dan berpengetahuan untuk menghapuskan dan memindahkan produk yang mengandungi asbestos dengan selamat.

CAP sekali lagi menggesa kerajaan supaya mempercepatkan pengharaman asbestos dan memastikan langkah yang sewajarnya diambil untuk melindungi kesihatan seluruh rakyat Malaysia.

SM Mohamed Idris Okt 9, 10 1:30pmPenulis adalah presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan boleh dihubungi pada talian tel: 04 8299511, faks: 04 8298109 atau e-mel: idrismd@tm.net.my

No comments:

Post a Comment