Pada mulanya penulis bersangka baik mengenai istilah Profesor Kangkung yang mula dilabelkan dahulu oleh mantan Naib Canselor, Universiti Malaya, Profesor DiRaja Ungku A Aziz.
Penulis menyangkakan tentulah dalam perebutan pangkat dan gelaran di IPTA tentulah ada 'yang memijak, yang dipijak dan yang terpijak'. Adat dunia, fitrah manusia selagi ada seketul hati hitam dalam diri manusia yang tidak beriman dan penuh nafsu-nafsi maka wujudlah fenomena hasad dengki, iri hati dan tindas menindas.
Walaupun penulis diberitahu seorang teman namun kerana gerak hati penulis maka penulis memperoleh pengalaman sebenar yang disaksikan sendiri.
Kisahnya bermula pada suatu majlis ilmu di sebuah dewan bertaraf balai raya kampung. Kebetulan para pesertanya boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan baik.
Muncul seorang sarjana yang kononnya berasa beliau seorang profesor hebat punya PhD dari luar negara berkhidmat pula di sebuah universiti ternama di Malaysia.
Semasa beliau membentangkan celotehnya (kerana tidak ada kertas kerja rasmi yang sebenarnya bersifat ilmiah) berhubung tentang salah satu cabang seni; cara komunikasi di hadapan audien seolah-olah beliau beranggapan berhadapan dengan para peserta/pendengar yang 'kangkung' juga.
Beliau berlagak seolah-olah beliau serba tahu di hadapan peserta yang tidak pun sampai 35orang yang berada dalam dewan tersebut.
Bayangkan sebuah IPTA terpaksa membayar segala macam elaun perjalanan, makan minum dan penginapan di luar kawasan selaku seorang penjawat awam dengan wang cukai rakyat semata-mata kepada seseorang yang berstatuskan profesor tetapi hampas belaka dan mengecewakan.
Ada pendengar, penonton merangkap peserta bidan terjun bertanya soalan-soalan spontan bersifat kreatif dan kritis.Tetapi profesor ini cuba mengelak dan memberi beberapa jawapan yang tidak munasabah, tidak akademik, kebudak-budakan dan 'self-fish'.
Beliau asyik mempamerkan biodatanya dengan power point yang kelam-kabut lantaran sudah puas diusungnya ke sana ke mari.
Seperkara yang membosankan ialah sikapnya mempamerkan satu-satunya buku tulisan beliau yang penulis yakin hanya sebuah sahaja yang menyentuh tentang cabang seni itu yang diterbitkan sebuah penerbitan swasta ternama di Kuala Lumpur (yang mungkin hasil kajian ilmiahnya dahulu) yang entah di kedai mana ada dijual kini atau tersimpan di stor lelong kerana telah diterbitkan pada abad yang lalu.
Yang amat memeranjat ialah apabila ada 'peserta' bertanya tetapi dijawabnya:
“Anda dah baca buku saya? Tak payah saya jawab. Awak baca buku saya. Baca!” katanya sambil menempelak dengan berbagai-bagai cemuhan memalukan (tidak perlu penulis sebutkan) peserta yang bertanya.
Justeru, apakah ini sifat seorang cendekiawan dan akhlak seorang profesor? Sepatutnya dijawab dengan penuh santun, beradab dan berbudaya.
Kini barulah penulis percaya sememangnya wujud profesor kangkung yang hanya riak, angkuh dan berlagak tin kosong dengan satu atau dua buah bukunya yang diusung ke hulu ke hilir, mendabik dada tetapi tidak mencerminkan mahaguru yang dihormati.
Kepada mana-mana profesor (termasuk profesor madya dan yang bakal menjawat profesor) ingatlah itu cuma jawatan anda sahaja sebelum anda bersara wajib di IPT.
Ingatlah tidak semudah itu anda boleh digelar profesor selepas bersara (dengan meraih gelaran Profesor Emiritus atau Prof DiRaja) sekiranya akhlak anda tidak menghormati tradisi dan budaya ilmu.
Usahlah fikir sekiranya anda berada di sisi orang politik yang berkuasa dan punya kabel ampuh maka anda lupa diri, lupa daratan. Hidup umpama roda. Contohi para ilmuan tempatan seperti Prof. Emiritus Dr Awang Had Salleh, Prof. Emiritus Dr Abdullah Hassan, Prof. Emiritus Dr Nik Safiah Karim, Prof. Emiritus Tan Sri Khoo Kay Kim dan lain-lain yang tetap kekal berbudi luhur dan bersantun tutur bicaranya dan kekal kaya sejarah pengalamannya.
*Dr Rajiee Hadi
MK Feb 9, 11
*Penulis ialah presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia
No comments:
Post a Comment