IslamiCity.com Apabila membincangkan sebarang aspek peradaban Islam, matlamat yang akhir dan dasar kreatifnya mestilah dilihat sebagai berlandaskan Al-Quran, kitab suci Islam. Budaya Islam sebenarnya “budaya Al-Quran” kerana takrif, struktur, matlamat dan kaedah untuk mencapai matlamat budaya Islam itu semuanya dihasilkan daripada seni penurunan wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam abad ketujuh Masihi. Orang Islam tidaklah sekadar mendapatkan pengetahuan tentang kebenaran hakiki daripada Al-Quran. Perkara yang juga begitu mendesak dan memaksa adalah idea-idea Al-Quran tentang alam semula jadi, tentang manusia dan semua makhluk hidup yang lain, tentang pengetahuan, tentang institusi sosial, politik dan ekonomi yang diperlukan bagi mengendalikan masyarakat yang sihat. Pendeknya, semua ini meliputi setiap cabang pembelajaran dan aktiviti kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa dalam Al-Quran yang terdiri daripada 114 surah, terdapat prinsip-prinsip asas bagi keseluruhan budaya dan peradaban. Tanpa wahyu tentang prinsip-prinsip asal itu, budaya tidak dapat dibangunkan. Tanpa wahyu itu juga, mungkin tidak akan ada agama Islam, negara Islam, falsafah Islam, undang-undang Islam, masyarakat Islam mahupun organisasi politik dan ekonomi Islam. Seni peradaban Islam perlu juga dilihat sebagai pernyataan estetik yang berasaskan Al-Quran. Aspek budaya Islam ini harus dilihat sebagai mempunyai sifat-sifat Al-Quran dari segi asas dan motivasi. Begitulah juga seni peradaban Islam haruslah dilihat sebagai ungkapan estetika yang sama bentuknya dalam pelaksanaannya. Sesungguhnya kesenian Islam adalah kesenian Al-Quran. al-Faruqi. (1992). Atlas Budaya Islam.
QuranExplorer.com
rumah anak yatim
tanah impian

Followers

Tuesday, 3 November 2009

Guru Oh Guru

Nukilan SN Usman Awang
(kini allahyarham, semoga Allah SWT memberkatinya).

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat 'cikgu' kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

1 comment:

  1. Puisi ini mengangkat martabat guru di mata golongan profesional lain kerana di tangan guru sekolah rendah dan menengahlah termasuk guru di universiti melahirkan mereka sebagai golongan borjuis baru.

    ReplyDelete