IslamiCity.com Apabila membincangkan sebarang aspek peradaban Islam, matlamat yang akhir dan dasar kreatifnya mestilah dilihat sebagai berlandaskan Al-Quran, kitab suci Islam. Budaya Islam sebenarnya “budaya Al-Quran” kerana takrif, struktur, matlamat dan kaedah untuk mencapai matlamat budaya Islam itu semuanya dihasilkan daripada seni penurunan wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam abad ketujuh Masihi. Orang Islam tidaklah sekadar mendapatkan pengetahuan tentang kebenaran hakiki daripada Al-Quran. Perkara yang juga begitu mendesak dan memaksa adalah idea-idea Al-Quran tentang alam semula jadi, tentang manusia dan semua makhluk hidup yang lain, tentang pengetahuan, tentang institusi sosial, politik dan ekonomi yang diperlukan bagi mengendalikan masyarakat yang sihat. Pendeknya, semua ini meliputi setiap cabang pembelajaran dan aktiviti kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa dalam Al-Quran yang terdiri daripada 114 surah, terdapat prinsip-prinsip asas bagi keseluruhan budaya dan peradaban. Tanpa wahyu tentang prinsip-prinsip asal itu, budaya tidak dapat dibangunkan. Tanpa wahyu itu juga, mungkin tidak akan ada agama Islam, negara Islam, falsafah Islam, undang-undang Islam, masyarakat Islam mahupun organisasi politik dan ekonomi Islam. Seni peradaban Islam perlu juga dilihat sebagai pernyataan estetik yang berasaskan Al-Quran. Aspek budaya Islam ini harus dilihat sebagai mempunyai sifat-sifat Al-Quran dari segi asas dan motivasi. Begitulah juga seni peradaban Islam haruslah dilihat sebagai ungkapan estetika yang sama bentuknya dalam pelaksanaannya. Sesungguhnya kesenian Islam adalah kesenian Al-Quran. al-Faruqi. (1992). Atlas Budaya Islam.
QuranExplorer.com
rumah anak yatim
tanah impian

Followers

Friday, 10 July 2009

Pendidikan Seni Visual dalam pendidikan sekolah

Pendidikan Seni Visual dalam pendidikan di Malaysia merupakan mata pelajaran yang menitikberatkan kepada aspek-aspek kesenian dan kebudayaan yang mendasari domain kognitif, afektif dan psikomotor. Matlamatnya adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pengalaman pembelajaran yang diterima (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2003).

Kurikulum Pendidikan Seni Visual sekolah menengah digubal dengan bertujuan untuk membantu pelajar agar dapat meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa yang dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat untuk melahirkan individu yang berketerampilan, berbudaya dan celik seni di samping mengamalkan nilai-nilai kehidupan yang murni serta seimbang dari aspek jasmani, rohani, emosi dan intelektual (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003).

Berasaskan kepada pendedahan selama enam tahun mengikuti pembelajaran Pendidikan Seni Visual di peringkat sekolah rendah, kurikulum mata pelajaran ini diperluaskan di peringkat sekolah menengah dengan konsep pembelajaran yang lebih mendalam.
Di peringkat sekolah rendah, terkandung empat bidang kegiatan iaitu; (i) Menggambar, (ii) Membuat Rekaan dan Corak, (iii) Membentuk dan Membuat Binaan, dan (iv) Mengenal Kraf Tradisional.

Kurikulum yang digubal adalah bermatlamatkan untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual dengan memberikan tumpuan kepada empat aspek yang mendasari pembangunan kognitif, afektif dan psikomotor, iaitu; (i) pemerhatian secara aktif terhadap objek alam dan objek buatan manusia. Kegiatan ini bertujuan untuk membantu individu menyelaraskan idea, imaginatif dan memperkembangkan alam fantasinya ke arah perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak, (ii) berkemahiran berinteraksi secara kreatif dan kritis, menggalakkan penerokaan dan percubaan, memperkembangkan daya psikomotor dengan berkemahiran memanipulasikan alat dan bahan serta berkeupayaan membuat interpretasi terhadap objek yang dilihat, (iii) melaksanakan apresiasi seni visual secara mudah iaitu memberi pengalaman dalam mengapresiasi keindahan dan fungsi sesuatu produk seni, dan (iv) menghargai nilai-nilai baik dalam semua aspek kehidupan yang sewajarnya dipupuk melalui pengajaran dan pembelajaran dengan membuat pertimbangan yang sewajarnya apabila berhadapan dengan sesuatu situasi atau keadaan (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003).

Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual Sekolah Rendah adalah bertujuan untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif, dan produktif menerusi pemupukan kemahiran dan pengetahuan terhadap asas-asas dan prinsip dalam seni. Kandungan kurikulumnya berkeupayaan membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat, dan negara, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.

Di peringkat menengah pula, kandungan kurikulum Pendidikan Seni Visual dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu; (i) Penghasilan Seni Visual yang mengandungi bidang Asas Seni Reka (Elemen Seni dan Prinsip Rekaan), bidang Seni Halus (Lukisan, Catan, Cetakan, dan Arca), bidang Komunikasi Visual (Reka Bentuk Grafik dan Multi Media), bidang Reka Bentuk (Reka Bentuk Industri, Reka Bentuk Hiasan Dalaman, Reka Bentuk Landskap), dan bidang Kraf (Tembikar, Anyaman, Batik, Tenunan, Tekat, dan Ukiran Kayu). Manakala dalam bahagian (ii) Sejarah dan Apresiasi Seni Visual yang menekankan aspek-aspek teori tentang sejarah dan perkembangan seni tanahair dan luar negara, tokoh-tokoh seniman dan bidang-bidangnya seperti Seni Halus dan Kraf Tradisional, serta bidang pemahaman dan penghargaan iaitu, apresiasi dan estetika.

Tumpuan pengajaran dan pembelajarannya adalah; (i) menghargai keindahan dan keharmonian alam ciptaan Tuhan dan hubungannya dalam masyarakat serta berusaha memuliharanya, (ii) peka terhadap keadaan keharmonian, keindahan dan keselesaan dalam segala perbuatan, (iii) sentiasa memberi perhatian kepada ketelitian dan kehalusan kerja seperti menggunakan alat dan bahan dengan betul, merancang kerja dengan teratur, kesungguhan terhadap proses penghasilan dan memberi perhatian kepada kemasan, (iv) menghargai hasil seni sebagai warisan budaya, dan (v) menghargai tokoh seni dan sumbangannya terhadap perkembangan budaya (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003).

Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah menengah adalah untuk membentuk keperibadian generasi Malaysia yang celik budaya, mempunyai nilai-nilai estetika yang tinggi, imaginatif, kritis, kreatif, inovatif, dan inventif. Kandungan kurikulumnya dibentuk dengan tujuan untuk membantu pelajar meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.
Dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual, penilaian terhadap penghasilan karya seni atau produk merupakan antara aspek utama dalam menetapkan objektif pembelajaran. Penghasilan karya seni atau produk merupakan aktiviti dan gerakkerja yang berasaskan penyelesaian permasalahan dan membuat keputusan dalam konteks dua dimensi atau tiga dimensi, di samping menitikberatkan kemahiran visual dan aspek kreativiti.

Berdasarkan kepada matlamat dan strategi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual di peringkat rendah dan menengah yang telah dihuraikan, ternyata penekanan utama adalah terhadap pembangunan insan dan warganegara dengan ilmu dan kemahiran berdasarkan pelbagai kriteria yang telah ditentukan. Ia adalah sumber tenaga manusia yang diperlukan oleh negara yang menuju ke arah negara maju dan menghadapi era globalisasi.

Perkara tersebut telah dijelaskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2003) dengan menyatakan bahawa rancangan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) merupakan satu lagi langkah ke arah meningkat mutu pendidikan dengan menekankan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Langkah ini bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran negara.

1 comment:

  1. Salam....
    Ni ke asgmnt yg ada kna mngena dgn tajuk Aplikasi seni dlm pengajaran???

    ReplyDelete