IslamiCity.com Apabila membincangkan sebarang aspek peradaban Islam, matlamat yang akhir dan dasar kreatifnya mestilah dilihat sebagai berlandaskan Al-Quran, kitab suci Islam. Budaya Islam sebenarnya “budaya Al-Quran” kerana takrif, struktur, matlamat dan kaedah untuk mencapai matlamat budaya Islam itu semuanya dihasilkan daripada seni penurunan wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam abad ketujuh Masihi. Orang Islam tidaklah sekadar mendapatkan pengetahuan tentang kebenaran hakiki daripada Al-Quran. Perkara yang juga begitu mendesak dan memaksa adalah idea-idea Al-Quran tentang alam semula jadi, tentang manusia dan semua makhluk hidup yang lain, tentang pengetahuan, tentang institusi sosial, politik dan ekonomi yang diperlukan bagi mengendalikan masyarakat yang sihat. Pendeknya, semua ini meliputi setiap cabang pembelajaran dan aktiviti kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa dalam Al-Quran yang terdiri daripada 114 surah, terdapat prinsip-prinsip asas bagi keseluruhan budaya dan peradaban. Tanpa wahyu tentang prinsip-prinsip asal itu, budaya tidak dapat dibangunkan. Tanpa wahyu itu juga, mungkin tidak akan ada agama Islam, negara Islam, falsafah Islam, undang-undang Islam, masyarakat Islam mahupun organisasi politik dan ekonomi Islam. Seni peradaban Islam perlu juga dilihat sebagai pernyataan estetik yang berasaskan Al-Quran. Aspek budaya Islam ini harus dilihat sebagai mempunyai sifat-sifat Al-Quran dari segi asas dan motivasi. Begitulah juga seni peradaban Islam haruslah dilihat sebagai ungkapan estetika yang sama bentuknya dalam pelaksanaannya. Sesungguhnya kesenian Islam adalah kesenian Al-Quran. al-Faruqi. (1992). Atlas Budaya Islam.
QuranExplorer.com
rumah anak yatim
tanah impian

Followers

Tuesday, 10 November 2009

Orang berakal mesti cari ilmu

Ilmu mengikut takrif (definisi) Islam ialah pengetahuan dan maklumat secara menyeluruh termasuk perkara ghaibiyyat (perkara yang ghaib). Mengikut takrif masyarakat Barat pula, ilmu hanyalah maklumat yang dapat dikesan oleh pancaindera. Ilmu wahyu yang berkaitan dengan perkara ghaib dianggap bukan ilmu.

Manakala hikmah pula ialah meletakkan sesuatu perkara dengan cara yang betul dan baik.

Ilmu dan hikmah adalah hasil akal, satu kurniaan Allah kepada manusia, ia membezakan manusia dengan makhluk yang lain. Allah SWT menciptakan sebagai makhluk yang berakal. Allah menyifatkan mereka dengan beberapa ungkapan yang menarik, dengan lafaz Ulil Albab, Ulil Absor dan lain-lain.

Antara perkara penting yang mesti dilakukan oleh akal ialah mencari ilmu. Hikmah dan ilmu dicapai sama melalui kurniaan Tuhan, secara langsung atau secara belajar, atau hasil dari beramal dengan ilmu, juga kajian dan pengalaman.

Nas-nas al-Quran dan al-Hadis telah memberi penekanan dalam perkara ini, Allah SWT telah mengesahkan tentang kurniaan ilmu kepada Nabi Daud a.s iaitu Rasul yang dipilih untuk memimpin kerajaan yang menjadi contoh Hadharah Islamiyyah sebagaimana firman Allah menerusi ayat 251 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan Allah mengurniakan kepadanya (nabi Daud) pemerintahan (kerajaan), hikmah (kebajikan) dan mengajarnya (diberi ilmu) daripada apa yang dikehendaki-Nya."

Firman-Nya lagi menceritakan tentang Nabi Daud dan puteranya Sulaiman a.s: "Dan kepada masing-masing Kami kurniakan hikmah dan ilmu." Ayat 79 surah al-Anbiya.

Allah SWT juga menentukan ayat-ayat yang pertama diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w adalah berhubung dengan ilmu. Firman Allah yang bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),(1) Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; (2) Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya(5)." - Surah al-Alaq dari ayat 1 hingga 5

Setelah dinyatakan prinsip ilmu, akidah dan akhlak, Allah berfirman kepada rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Perintah yang demikian itu ialah sebahagian daripada hikmah yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah)." - Ayat 39 surah al-Isra'.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Hikmah itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman, maka dialah yang berhak mengambilnya." - Hadis riwayat Imam at-Tarmizi dan Ibnu Majah.

Al-Quran adalah mukjizat dalam bentuk ilmu yang dikurniankan kepada Rasulullah s.a.w. Ia adalah mukjizat yang berterusan sehingga hari kiamat. Ia juga mencakupi di dalamnya segala perkara, termasuk perkara yang boleh dikesan oleh akal dan pancaindera manusia, yang mampu dikaji oleh mereka dari masa ke semasa, dan ada perkara yang tidak mungkin dicapai oleh akal dan pancaindera.

Ia adalah sebahagian daripada ilmu Allah SWT yang tidak terhingga dan terbatas luar daripada kemampuan manusia untuk mengkaji dan memahaminya. Al-Quran adalah petunjuk dalam perkara yang telah diketahui oleh mereka. Petunjuk al-Quran adalah penuh dengan hikmah yang tepat dan betul.

Mengikut ajaran Islam, semua ilmu adalah berasaskan peranan manusia yang telah ditetapkan oleh Allah. Oleh kerana itu, Islam tidak sama sekali memisahkan antara urusan rohani dan jasmani, dunia dan akhirat.

Semua sudut penghidupan hendaklah berjalan serentak. Ini disebabkan perjalanan hidup manusia memerlukan makanan rohani dan jasmani. Dunia berfungsi sebagai jambatan menuju akhirat, sama ada menuju ke syurga atau neraka.

Kemampuan manusia adalah terhad, mereka memerlukan pertolongan Allah termasuk dalam urusan dunia, sistem pendidikan, dan pelajaran yang mengendalikan segala pengajian hendaklah memenuhi prinsip, objektif dan matlamat pendidikan Islam dengan acuannya yang tersendiri, iaitu membangunkan manusia dengan iman, ilmu dan akhlak seperti yang disebut oleh Jibril a.s ketika menyoal Rasulullah s.a.w dalam hadis yang kedua menerusi hadis 40 Imam an-Nawawi, di mana hadis itu menjurus kepada persoalan Jibril kepada Rasulullah s.a.w mengenai Islam, Iman, Ihsan dan tanda-tanda kiamat. Baginda s.a.w telah menjawab satu persatu persoalan yang dikemukakan kepadanya.

Setelah selesai pertanyaan Jibril itu, beliau pun beredar, maka baginda s.a.w memanggil Sayidina Umar bin al-Khattab dan bertanya kepadanya, apakah beliau mengenali orang yang bertanya itu, jawab Umar:" Tidak wahai Rasulullah! Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahui."

Jawab Nabi s.a.w itulah dia Malaikat Jibril. Dia datang kepada kamu semua untuk mengajar kamu berkenaan agama kamu."

Inilah acuan yang telah melahirkan Hadharah Islamiyyah yang berjaya, tetapi acuan ini telah ditinggalkan. Pada zaman ini telah berlaku perkara yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. Negara-negara Teluk Parsi yang kaya dengan minyak dahulunya adalah kawasan pengembalaan kambing, begitu juga di daerah lain di dunia ini termasuklah Malaysia.

Kini manusia berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi oleh kalangan hartawan jadian untuk menunjuk-nunjuk kemewahan di tengah-tengah lautan manusia yang hidup terbiar dibelenggu kemiskinan dan kemelaratan.

---
Dinukil daripada buku 'Hadharah Islamiyyah, bukan Islam Hadhari' tulisan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, muka surat 115-121, terbitan Nufair Street, 2005.

Saturday, 7 November 2009

Pengiraan Merit Ke IPTA Guna Gred Baru

Pengiraan Merit Ke IPTA Guna Gred Baru Mulai Tahun Depan

PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) -- Mulai tahun depan, pengiraan merit untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 dan setaraf akan menggunakan penggredan baru.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata perubahan itu selaras dengan sistem penggredan baru Kementerian Pelajaran yang memperkenalkan peringkat kelulusan A+ untuk pelajar SPM 2009 berbanding gred 1A sebelum ini .

"Sistem ini diperkenalkan untuk memilih yang terbaik di kalangan terbaik bagi memasuki IPTA supaya ada perbezaan contohnya antara A+ dengan A dengan A-," katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat.

Melalui sistem baru itu, pelajar yang mendapat A akan dikategorikan kepada A+, A dan A- dengan merit masing-masing 18, 16 dan 14, katanya.

Beliau berkata gred 3B ditukar kepada B+ dengan merit 12, 4B kepada B(10), 5C kepada C+ (lapan), 6C kepada C (enam), 7D kepada D(empat), 8E kepada E (dua) dan 9G kepada G dengan merit sifar.

Bagaimanapun Dr Radin Umar berkata kaedah baru itu akan mengambil kira syarat khas kemasukan program pengajian seperti gred 6C (kepujian) sebelum ini, tarafnya tidak akan diturunkan ke gred lebih rendah.

"Pemprosesan, pengiraan markah merit, syarat am universiti, syarat khas program pengajian serta pemilihan calon akan dilaksanakan secara dua kaedah dalam proses transisi iaitu kaedah sedia ada bagi lepasan SPM 2008 dan sebelumnya serta kaedah terkini bagi calon lepasan SPM 2009," katanya.

Beliau berkata ini bagi memastikan peluang pelajar lepasan SPM terdahulu untuk melanjutkan pengajian ke IPTA tidak terjejas.

Katanya pelaksanaan kaedah pengiraan markah merit terkini itu akan disebarkan melalui Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 mulai Januari hingga Mac tahun depan di 10 zon terpilih seluruh negara.

"Kementerian juga akan mengadakan taklimat kepada guru bimbingan dan kaunseling serta mengemas kini maklumat itu melalui cetakan dan agihan brosur ke Jabatan Pelajaran Negeri dan sekolah serta di laman web kementerian (Pengajian Tinggi) dan Kementerian Pelajaran," kata Dr Radin Umar.

Perancangan Pendidikan RMK-10

Perancangan Pendidikan RMK-10 Tumpu Empat Sub-NKRA

PETALING JAYA, 3 Nov (Bernama) -- Perancangan pendidikan bagi tahun depan dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan ditumpukan kepada pelaksanaan empat sub-Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan.

1. Memperluas dan memantapkan pendidikan prasekolah,
2. Meningkatkan kadar literasi dan numerasi,
3. Mewujudkan sekolah berprestasi tinggi, dan
4. Mengiktiraf pengetua dan guru besar yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Industri Seni Halus

Malaysia Mempunyai Potensi Baik Dalam Industri Seni Halus

HELSINKI, 5 Nov (Bernama) -- Konduktor muzik klasik terkemuka dunia Datuk Ooi Chean See, yang juga duta Tourism Malaysia, mempunyai satu misi -- untuk menjual seni halus dan kebudayaan Malaysia kepada dunia.

Ooi percaya sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk menarik pelancong kelas tinggi dan kaya daripada sekadar mempromosikan negara sebagai destinasi nilai wang dengan keindahan laut dan cuaca panas sepanjang tahun.

"Kami juga berharap untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi seni halus, busana anggun, makanan dan kehidupan bercita rasa tinggi dan mewah walaupun kami masih belum boleh dibandingkan dengan bandar raya lain dalam bidang ini seperti Singapura atau bandar raya di Eropah.

"Inilah antara perkara yang saya sering beritahu kenalan saya. Datang ke Malaysia untuk bercuti, kami menawarkan banyak tarikan," katanya.

Beliau merupakan sebahagian delegasi misi perdagangan pelancongan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen ke tiga pasaran di Scandinavia di sini. Selain Helsinki, delegasi telah melawat Stockholm dan akan melawat Copenhagen pada Khamis.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu telah tinggal di Bonn, Jerman sejak 30 tahun lepas tetapi Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sabah kekal menjadi destinasi percutian pilihannya.

"Saya suka makanan Pulau Pinang, Kuala Lumpur bagi kemajuannya dan sudah tentu Sabah bagi alam semulajadinya," kata Ooi.

Beliau dilantik Konduktor Residen Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) pada 1997, menjadikannya seorang daripada beberapa konduktor wanita bagi orkestra muzik klasik.

Beliau berkata pengalaman dan hubungannya dengan rakan perniagaan yang luas di Eropah akan membolehkannya mempromosikan Malaysia.

Antara perancangan utama yang telah beliau gariskan ialah untuk membawa kesenian dan kumpulan kebudayaan Malaysia dan mengubah simfoni untuk dipersembahkan pada pameran pelancongan International Tourism Bourse (ITB) di Berlin pada Mac tahun depan.

"Saya juga akan memberi penekanan kepada lagu dan tarian rakyat, peralatan muzikal dan hasil kesenian tradisional seperti lukisan batik, kaligrafi dan makanan dan hidangan kita yang terkenal," katanya dan menurutnya satu daripada lagu kegemarannya ialah Tanah Pusaka.

Beliau dilantik sebagai duta pelancongan pada Ogos. Selain beliau, dua lagi yang dilantik sebagai duta Tourism Malaysia ialah pereka kasut terkemuka Datuk Jimmy Choo dan Presiden Federation Internationale de l'Automobile (FIA) Datuk Seri Jean Todt, yang merupakan tunang kepada aktres Malaysia Datuk Michelle Yeoh.

"Saya amat berbesar hati apabila diminta menjadi duta Tourism Malaysia. Saya akan melakukan yang terbaik untuk mempromosikan Malaysia ke pasaran Eropah di sini," kata Ooi.

Misi beliau seiring dengan perancangan Tourism Malaysia untuk mengadakan Festival Kesenian dan Kebudayaan Malaysia dari Julai hingga September tahun depan.

Katanya dengan membangunkan industri seni halus Malaysia, ia bukan sekadar dapat meningkatkan industri pelancongan negara tetapi juga mendidik Malaysia dalam bidang itu dan memberikan lebih banyak peluang dan pendedahan kepada pelukis Malaysia untuk mempromosikan bakat mereka kepada dunia.

"Saya fikir ini ada kaitan dengan sistem pendidikan kita yang menumpukan kepada sains dan teknologi dan kecemerlangan akademik.

"Tetapi kita masih belum terlambat. Saya lihat warga Malaysia telah mula menunjukkan minat dan penghargaan terhadap kesenian itu. Dan saya fikir kita perlu mempunyai program kesedaran secara berterusan untuk menanamkan penghargaan terhadap seni halus dan kebudayaan di kalangan rakyat kita, khususnya generasi muda," katanya.

Pendidikan Kanak-kanak...?

Khazanah Akan Bawa Watak Kanak-kanak Ke Taman Tema Nusajaya

JOHOR BAHARU, 7 Nov (Bernama) -- Watak popular kanak-kanak Barney, Thomas and Friends, Bob the Builder, dan Hello Kitty adalah antara tarikan di taman tema tertutup empat tingkat bernilai RM350 juta, yang dijadual dibuka kepada orang ramai pada penghujung 2012.

Taman itu, yang akan ditempatkan di Pelabuhan Puteri di Nusajaya, akan memakan ruang seluas 60,000 kaki persegi dan satu lagi ruang retail seluas 100,000 kaki persegi.

Ia akan juga menampilkan restoran tema keluarga yang pertama di Malaysia milik kartunis Lat.

Themed Attractions and Resorts (TAR) Sdn Bhd, sebuah subsidiari Khazanah Nasional, hari ini menandatangani perjanjian dengan HIT Entertainment Ltd, Sanrio Entertainment Ltd dan Kampung Boy Sdn Bhd.

TAR juga menandatangani perjanjian dengan the Shangri-La Hotels and Resorts bagi pembangunan Traders Hotel mengandungi 300-bilik, serta UEM Land, bagi pembinaan taman tema tertutup tersebut.

Menurut ketua pegawai eksekutif TAR Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin, taman tema tertutup itu akan merupakan tarikan tambahan di Nusajaya dan Iskandar Malaysia.

Pembinaan taman tertutup itu, katanya dijangka bermula pada pertengahan tahun depan.

"Taman tema itu membuktikan bahawa Iskandar Malaysia adalah sebuah destinasi menarik untuk keluarga dengan kanak-kanak di bawah 12 tahun.

"Ia sebagai tambahan kepada satu lagi tarikan, berikutan penandatanganan dengan Legoland Malaysia tahun lepas," kata Tunku Ahmad Burhanuddin kepada pemberita di sini.

Sementara itu, pengarah urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar berkata, taman tema tertutup itu akan menarik laluan trafik ke Nusajaya dan Iskandar Malaysia.

Tuesday, 3 November 2009

Guru Oh Guru

Nukilan SN Usman Awang
(kini allahyarham, semoga Allah SWT memberkatinya).

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat 'cikgu' kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Jepun bahasa ketiga di sekolah

Kementerian Pelajaran merancang menambah lebih banyak sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah harian yang mengajar
bahasa Jepun sebagai bahasa ketiga selepas bahasa Melayu dan Inggeris.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata untuk itu setiap tahun kementerian akan menambah tenaga pengajar bahasa Jepun di sekolah-sekolah terbabit.

"Setiap tahun kita akan menambah kelas bahasa Jepun di sekolah-sekolah berasrama penuh dan menengah harian apabila pelajar-pelajar kita yang belajar di Jepun pulang ke tanah air," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Osaka University Forum 2009 di Kuala Lumpur.

Alimuddin berkata sehingga kini tenaga pengajar dalam bahasa-bahasa antarabangsa masih tidak mencukupi kerana permintaan itu bukan sahaja wujud di sekolah-sekolah malah di kementerian dan jabatan kerajaan.

Sehingga tahun lepas, sebanyak 43 buah sekolah berasrama penuh dan 29 buah sekolah menengah harian terlibat dalam program bahasa Jepun yang menjadikan Malaysia sebagai negara ke-12 teramai mempelajari bahasa Jepun di dunia, katanya.

Forum selama dua hari yang bermula hari ini itu dihadiri oleh tenaga pengajar bahasa Jepun dari Malaysia, Thailand, Filipina, India dan Singapura bagi membincang dan membentangkan pelbagai isu berhubung pendidikan dan bahasa.

Ditanya mengenai siasatan berhubung tragedi jambatan gantung yang runtuh di SK Kuala Dipang, Kampar pada 26 Okt lepas, Alimuddin berkata jawatankuasa khas itu akan mengadakan mesyuarat kedua pada Isnin depan.

"Mesyuarat kedua itu akan diadakan pada Isnin depan dan kita jangka dalam minggu akan datang kita akan dapat serahkan laporan siasatan kepada timbalan perdana menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga menteri pelajaran)," katanya.

Beliau berkata jawatankuasa khas yang dianggotai wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), polis dan wakil kerajaan negeri Perak itu telah mengadakan mesyuarat pertamanya minggu lepas.

Dalam kejadian itu, dua pelajar SJKT Mambang Di Awan dan seorang pelajar SJKT Gopeng mati lemas selepas jambatan gantung yang menghubungkan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang dan Pusat Kokurikulum Daerah Kampar runtuh. BERNAMA