IslamiCity.com Apabila membincangkan sebarang aspek peradaban Islam, matlamat yang akhir dan dasar kreatifnya mestilah dilihat sebagai berlandaskan Al-Quran, kitab suci Islam. Budaya Islam sebenarnya “budaya Al-Quran” kerana takrif, struktur, matlamat dan kaedah untuk mencapai matlamat budaya Islam itu semuanya dihasilkan daripada seni penurunan wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam abad ketujuh Masihi. Orang Islam tidaklah sekadar mendapatkan pengetahuan tentang kebenaran hakiki daripada Al-Quran. Perkara yang juga begitu mendesak dan memaksa adalah idea-idea Al-Quran tentang alam semula jadi, tentang manusia dan semua makhluk hidup yang lain, tentang pengetahuan, tentang institusi sosial, politik dan ekonomi yang diperlukan bagi mengendalikan masyarakat yang sihat. Pendeknya, semua ini meliputi setiap cabang pembelajaran dan aktiviti kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa dalam Al-Quran yang terdiri daripada 114 surah, terdapat prinsip-prinsip asas bagi keseluruhan budaya dan peradaban. Tanpa wahyu tentang prinsip-prinsip asal itu, budaya tidak dapat dibangunkan. Tanpa wahyu itu juga, mungkin tidak akan ada agama Islam, negara Islam, falsafah Islam, undang-undang Islam, masyarakat Islam mahupun organisasi politik dan ekonomi Islam. Seni peradaban Islam perlu juga dilihat sebagai pernyataan estetik yang berasaskan Al-Quran. Aspek budaya Islam ini harus dilihat sebagai mempunyai sifat-sifat Al-Quran dari segi asas dan motivasi. Begitulah juga seni peradaban Islam haruslah dilihat sebagai ungkapan estetika yang sama bentuknya dalam pelaksanaannya. Sesungguhnya kesenian Islam adalah kesenian Al-Quran. al-Faruqi. (1992). Atlas Budaya Islam.
QuranExplorer.com
rumah anak yatim
tanah impian

Followers

Monday, 31 August 2009

Yang dipijak dan terpijak: kepala lembu, lembu siapa, siapa lembu

Berita Jumaat (Mk & Hd), 280809:
Kira-kira 50 orang Melayu berarak membawa kepala lembu dan memijaknya di hadapan bangunan SUK Selangor sebagai protes kepada kerajaan negeri Selangor tentang isu pembinaan kuil di Shah Alam.







Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
(Al-Anaam: 108)

Merdeka!

Hari ini. 31 Ogos 2009. Malaysia. 52 tahun merdeka.

Merdeka?

Thursday, 27 August 2009

Mind mapping













Buzan - mind mapping




de Bono on creative thinking

Ottino - creative process: art, science and technology

Csikzentmihalyi on creativity




Nilai dalam pendidikan

Nilai hidup yang baik merupakan prinsip asas dalam pembentukan fikiran dan akhlak dalam Islam. Dalam Islam terdapat banyak nilai-nilai yang murni dan mulia menjadi teras kepada kecemerlangan dan keagungan Islam. Antara nilai-nilai yang sewajarnya dihayati dan diamalkan termasuklah sifat-sifat sabar, bertanggungjawab, berdisiplin, berdikari, bersyukur, ikhlas dan lain-lain lagi. Keupayaan bagi anggota masyarakat dalam menghayati dan mengamalkan nilai-nilai inilah yang menjadi tunggak kepada kecemerlangan kehidupan. Matlamat ini boleh disuburkan menerusi proses pelaksanaan pendidikan yang dilakukan (Sufean, 1995; Gamal, 2003).

Melihat kepada pendidikan di Malaysia, penerapan nilai murni merupakan satu aspek yang mesti diajar dalam pengajaran dan pembelajaran di setiap kurikulum persekolahan. Di peringkat sekolah, dalam membangunkan dan membina minda manusia, nilai murni merupakan asas kepada tujuan tersebut. Pemahaman terhadap aspek-aspek nilai yang baik berkeupayaan untuk membantu pelajar dalam mengatasi masalah kejahilan, kejahatan, kemusnahan, dan seumpamanya. Tanpa pemahaman dan amalan yang serius terhadap nilai murni, krisis moral dalam kalangan pelajar atau remaja akan terus merebak dan selanjutnya memusnahkan perkembangan minda golongan pelajar (Abd. Rahim, 2001).

Penerapan nilai murni di sekolah berhasrat untuk memperkasa daya tahan, daya juang para pelajar dan remaja dalam melalui liku-liku hidup yang sentiasa terdedah kepada gejala-gejala yang tidak sihat. Dengan memahami dan mengamalkan nilai-nilai murni itu, sebarang tindak tanduk, sikap, amalan, pandangan dan pendapat yang bercanggah dengan norma kehidupan masyarakat yang harmoni dan ideal akan berjaya diharungi oleh golongan pelajar yang merupakan sebahagian dari anggota masyarakat. Pelajar atau remaja akan dapat membuat perbandingan dan keputusan ke atas sesuatu perkara dan isu yang melibatkan penentuan baik atau buruk. Terutamanya dalam melakukan sesuatu tindakan dan membuat keputusan (Abd. Rahim, 2001).

Nilai murni perlu dijadikan keutamaan yang mendasari semua bentuk pendidikan di sekolah. Tanpa mengira apakah mata pelajaran yang diajar. Sekolah merupakan sebuah institusi pendidikan yang berusaha menyemai dan menanamkan serta memupuk pertumbuhan rohani dan jasmani pelajar dalam suasana yang bersih dan sihat. Nilai murni merupakan tunggak kepada pembentukan dan pembinaan sahsiah, kekuatan personal, kekuatan moral, sosial dan kerohanian. Ianya bersifat global dan tiada percanggahan dengan nilai-nilai agama, budaya dan norma masyarakat Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2003) telah menggariskan kepentingan pendekatan nilai merentasi kurikulum itu adalah berobjektifkan; (i) menanam kesedaran, pemahaman, keyakinan diri dan bekerjasama, (ii) menanam semangat cintakan nilai-nilai suci, (iii) menghormati kebaikan dan membenci keburukan, (iv) membentuk sikap positif yang berguna kepada agama, bangsa dan juga sewaktu menjalankan tugas dan tanggungjawab, (v) menghapuskan sikap negatif dalam kehidupan, (vi) menjalankan amanah dengan dedikasi, (vii) melatih diri dengan disiplin, (viii) meningkatkan hasil atau produktiviti, dan (ix) berusaha untuk mencapai kecemerlangan.

Wan Mohd. Zahid (1993) menjelaskan, insan yang baik merupakan insan yang memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu. Ianya melibatkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara serta sedia berbakti dan berusaha memberi sumbangan yang terbaik kepada kehidupannya.

Pendidikan sebagai proses memanusiakan manusia

Pendidikan memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan proses memanusiakan manusia. Pendidikan mestilah dapat menjamin kebahagiaan dan kebaikan kehidupan dunia dan akhirat. Antara matlamat umum pendidikan adalah untuk memberi dan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang membenarkan seseorang individu melihat dunia sebagai sebuah kesatuan di samping memahami dan menghargai nilai-nilai budaya dan warisan bangsa (Gamal, 2003).

Menurut perspektif Islam, Gamal (2003) dan Mohd. Yusof (2004) menyatakan bahawa Islam memahami pendidikan adalah sebagai suatu persediaan roh dan jiwa seseorang untuk menerima pelajaran dan pengetahuan melalui kaedah yang dirancang. Ia mengambil kira faktor asas untuk memberi keupayaan seseorang menunaikan risalah dalam hidupnya. Risalah ini mengandungi tujuan-tujuan untuk kehidupan dunia dan akhirat. Dengan mendasari kepada konsep yang berasaskan Islam, pendidikan akan menjadi lebih syumul dan bertujuan melahirkan insan yang soleh dan beretika dengan tidak mengenal batas masa, tempat dan suasana malah ia menuju kepada kecemerlangan kehidupan dunia dan alam akhirat. Matlamat pendidikan yang unggul ialah keselarasannya dengan objektif kejadian manusia iaitu memahami dan penguasaan ilmu tentang kebesaran Allah S.W.T. dan segala ciptaannya sehinggalah kepada ilmu-ilmu yang memerihalkan tentang kehidupan dan kejadian setelah kematian. Pendidikan juga disifatkan sebagai proses untuk mendapatkan ilmu lebih terarah kepada perkembangan pembawaan dan personaliti pelajar.

Hassan Langgulung (1991) ada menyatakan, pendidikan adalah suatu proses untuk menemukan dan memperkembangkan kebolehan serta suatu proses memindahkan suatu kesimpulan penyelidikan. Ia merupakan satu transaksi memberi dan menerima di antara potensi individu dan budaya dari satu generasi ke satu generasi dengan berlandaskan syariah. Pendidikan sewajarnya dapat menanamkan perangai baik kepada pelajar supaya dapat membuat penilaian di antara perkara-perkara yang benar dan yang salah, serta dapat membezakan perilaku yang baik dengan perilaku yang buruk atau jahat.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Faruqi dan Al-Faruqi (1992) bahawa dengan asas tauhid, setiap idea ditanam dengan kukuh sehingga setiap aktiviti, fikiran, peristiwa dan objek bukan hanya mesti terpengaruh dengannya tetapi juga ditentukan oleh bidang yang lain. Ia dianggap sebagai sebahagian daripada satu sistem yang sempurna dan menyeluruh yang mengatur kehidupan manusia. Ini bermakna, semua bentuk pemikiran dan penghasilan bentuk seni mestilah menganjurkan manusia kepada sesuatu yang benar dan bermakna, indah, harmoni, sempurna, penuh dengan kebijaksanaan yang mempunyai estetika dan beretika. Jelasnya, setiap individu mempunyai fitrah semula jadi yang cinta kepada seni yang menyenangkan hati melalui seluruh pancaindera. Manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cinta kepada sesuatu yang selamat, memuaskan dan memberi kepuasan hati melalui pancaindera rasa.

Proses penghasilan dan penciptaan karya seni atau produk merupakan satu manifestasi pemikiran berasaskan pengalaman pengkarya. Pengalaman itulah merupakan asas yang memungkinkan terzahirnya kreativiti. Kreativiti juga dipengaruhi oleh faktor intrapersonal dan interpersonal. Penjelmaan idea untuk berkreatif bergantung kepada kecerdasan minda atau keintelektualan pemikiran seseorang pengkarya. Kecerdasan daya intelek itulah yang mempengaruhi tindakan, tingkah laku, gaya berfikir, personaliti dan sebagainya dalam domain yang melibatkan kognitif, afektif dan psikomotor (Girl & Chong, 2004).

Perilaku dan interaksi manusia

Perilaku manusia menerusi hubungan interpersonal dalam sesebuah masyarakat atau kelompok merupakan asas kepada pemahaman bahawa perilaku dan interaksi manusia itu dapat dibezakan dengan penampilan melalui simbol-simbol dan makna-makna menerusi perilaku yang tertentu (Rohidi, 2000). Interaksi yang berlaku merupakan satu proses pencarian makna di sebalik peristiwa-peristiwa yang berlaku dan menghasilkan fenomena tertentu. Ia lebih bermakna daripada sekadar peristiwa-peristiwa biasa tetapi merupakan satu pengertian bahawa manusia membangunkan dirinya dan dunianya melalui realiti-realiti yang dilaluinya.

Perilaku dan tindakan manusia itu mempunyai makna dan sebab di sebalik kejadian yang berlaku. Ianya memerlukan satu interpretasi yang tertentu untuk mengungkapkan apakah makna yang tersirat di sebalik sesuatu peristiwa atau fenomena dalam memaknakan perilaku tersebut. Ini bermaksud perkembangan manusia sangat dipengaruhi oleh suasana atau keadaan yang terdapat di sekelilingnya atau persekitarannya.

Masyarakat manusia berkembang dalam proses yang berlaku secara menyeluruh. Ia berlaku berasaskan dari sesuatu peristiwa secara ‘phenomenologic’ tetapi bertujuan. Perilaku manusia itu berlaku dan berkembang secara konstruktif berasaskan pendekatan intuitif untuk menterjemah makna dengan teliti dan mendalam. Sebagaimana dalam memahami interaksi yang berlaku dan makna yang simbolik, pengalaman manusia diperoleh melalui interpretasi (Blumer, 1969). Objek, situasi, orang dan peristiwa tidak memiliki maknanya yang tersendiri. Ia diinterpretasikan oleh individu yang melihat dan terlibat dalam sesebuah kelompok atau suasana.

Wednesday, 26 August 2009

Bapa Optik Moden

BH (6.10.2006)
IBN Haitham yang diberi gelaran Bapa Optik Moden mempunyai rahsia tersendiri mendahului dunia Barat dalam meneroka penemuan mengenai optik dan cahaya.

Beliau mendapat inspirasi mendalami kajian mengenai cahaya berdasarkan pemahamannya terhadap ayat al-Quran yang banyak menyebut mengenai perkara itu seperti surah an-Nur. Hakikatnya, tokoh sains yang turut dikagumi Barat itu, adalah tokoh agama yang tidak memisahkan antara sains dengan ilmu ketuhanan.

Walaupun al-Quran bukan kitab sains, namun ia menyimpan banyak rahsia sains yang akhirnya membawa manusia kepada perasaan kagum dengan kebesaran Allah.

Ibn Haitham berjaya memberi penjelasan mengenai teori pembiasan cahaya di mana cahaya yang bergerak lurus akan terbias apabila melalui halangan di atmosfera sebagaimana manusia melihat objek terpesong daripada kedudukan sebenar di dalam air kerana cahaya dari objek yang sampai ke mata telah dibiaskan oleh air.

Beliau mencetuskan revolusi ilmu optik melalui huraian anatomi mata seawal kurun ke 11 Masihi, malah perkataan kornea yang diasaskannya masih diguna pakai hingga hari ini.

Ibn Haitham turut menjelaskan konsep melihat yang sebenar dan kaitan penglihatan dengan otak manusia, teori yang membawa kepada pemahaman pergerakan cahaya.

Selain kejayaan menghasilkan teori itu, beliau turut melalui pengalaman getir serta mencabar dalam usahanya mendalami ilmu pengetahuan sehingga terpaksa berlagak seperti orang tidak siuman.

Kisah bermula apabila beliau berazam untuk mengawal aliran Sungai Nil dengan merumus formula yang dapat memastikan sungai itu sentiasa mengalir pada tahap menggembirakan penduduk Mesir.

Maka, tercetuslah idea untuk membina empangan di Sungai Nil sehingga menawan pemerintah Mesir ketika itu Khalifah al-Hakim yang menjemput Ibn Haitham ke negaranya.

Al-Hakim terkenal sebagai pemerintah yang amat mencintai ilmu dan menggalakkan ilmuwan dari segenap wilayah Islam berhijrah ke Mesir.

Khalifah al-Hakim memiliki sikap tegas dan mempunyai keazaman tinggi hingga tidak akan bertolak ansur terhadap orang yang gagal memenuhi impiannya.

Apabila menyedari usahanya untuk membina empangan Sungai Nil tidak dapat dilaksanakan, Ibn Haitham cuba memberitahu Khalifah al-Hakim perkara itu tetapi malangnya dijatuhkan hukuman maut.

Monday, 24 August 2009

Ramadhan Al-Mubarak

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.(Al-Baqara: 183)

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.(Al-Baqara: 185)

Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. (Al-Ahzab: 35)

Thursday, 13 August 2009

Belajar melalui tontonan

(Motivasi-UM)
Tahukan anda bahawa belajar melalui tontonan merupakan salah satu gaya belajar (learning styles) yang boleh membawa kesan dalam proses pembelajaran. Rancangan televisyen terutamanya yang memaparkan keadaan alam, benda, manusia, haiwan dan kejadian fenomena alam merupakan nilai tambah terhadap pengetahuan pada topik pembelajaran di sekolah.

Kini rancangan video boleh dimainkan semula pada perkakasaan tertentu mengikut format masing-masing sama ada dalam bentuk paparan klip video di skrin komputer, Video-CD (VCD), DVD atau pita video.

Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan EduwebTV yang banyak menyediakan rancangan berbentuk rencana, wawancara dan berita yang boleh dimuat turun untuk tujuan tontonan.

Justeru, murid-murid harus mengambil peluang untuk menonton klip video tersebut yang berkaitan dengan pelajaran. Anda harus lakukan perkara-perkara berikut agar klip video tersebut dapat digunakan secara lebih berkesan.
• Memilih tajuk: Anda harus bijak memilih tajuk. Tajuk yang dipilih perlulah berkaitan dengan topik-topik mata pelajaran yang dipelajari di sekolah.
• Pra tontonan (sebelum) : Pada peringkat ini anda harus memahami topik yang berkaitan dengan klip video yang dipilih. Dengan cara ini ia dapat membantu daya tumpuan anda ketika menontonnya.
• Semasa tontonan: Ketika menonton pastikan anda mencatat maklumat penting seperti istilah-istilah yang digunakan, objek yang terdapat dalam tayangan tersebut dan isipati penerangan yang diberikan. Anda juga harus mencatat perkara-perkara yang tidak difahami termasuk istilah-istilah yang digunakan, proses yang dijalankan atau peristiwa yang berlaku.
• Pasca tontonan (selepas): Selepas menonton anda harus melihat semula catatan yang dibuat. Senaraikan istilah, proses atau peristiwa yang terdapat dalam tayangan video tersebut. Semak catatan tadi dengan nota yang diberikan oleh guru atau maklumat yang terdapat dalam buku teks. Sudah pasti maklumat yang anda peroleh melalui tontonan tadi mampu memantapkan lagi pemahaman anda terhadap topik pembelajaran di sekolah. Jika maklumat yang dikumpul itu mengelirukan anda harus bertindak pantas berjumpa dengan guru untuk mendapatkan penerangan dan penjelasan.

Sesungguhnya maklumat pembelajaran boleh disalurkan melalui pelbagai media sama ada yang bercetak, secara lisan, tulisan, bunyi atau melalui tontonan. Walau bagaimanapun setiap media yang digunakan haruslah mengikut etika yang tertentu dan jangan sampai ia disalahgunakan.

Tuesday, 11 August 2009

Konvo UPSI 2009

11 Ogos 2009 (Selasa)

Hari pertama, Sesi Pertama Konvokesyen UPSI 2009.
Istiadat lima hari itu menganugerahkan ijazah kepada hampir 3,000 graduan ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana dan sarjana muda.