Perilaku manusia menerusi hubungan interpersonal dalam sesebuah masyarakat atau kelompok merupakan asas kepada pemahaman bahawa perilaku dan interaksi manusia itu dapat dibezakan dengan penampilan melalui simbol-simbol dan makna-makna menerusi perilaku yang tertentu (Rohidi, 2000). Interaksi yang berlaku merupakan satu proses pencarian makna di sebalik peristiwa-peristiwa yang berlaku dan menghasilkan fenomena tertentu. Ia lebih bermakna daripada sekadar peristiwa-peristiwa biasa tetapi merupakan satu pengertian bahawa manusia membangunkan dirinya dan dunianya melalui realiti-realiti yang dilaluinya.
Perilaku dan tindakan manusia itu mempunyai makna dan sebab di sebalik kejadian yang berlaku. Ianya memerlukan satu interpretasi yang tertentu untuk mengungkapkan apakah makna yang tersirat di sebalik sesuatu peristiwa atau fenomena dalam memaknakan perilaku tersebut. Ini bermaksud perkembangan manusia sangat dipengaruhi oleh suasana atau keadaan yang terdapat di sekelilingnya atau persekitarannya.
Masyarakat manusia berkembang dalam proses yang berlaku secara menyeluruh. Ia berlaku berasaskan dari sesuatu peristiwa secara ‘phenomenologic’ tetapi bertujuan. Perilaku manusia itu berlaku dan berkembang secara konstruktif berasaskan pendekatan intuitif untuk menterjemah makna dengan teliti dan mendalam. Sebagaimana dalam memahami interaksi yang berlaku dan makna yang simbolik, pengalaman manusia diperoleh melalui interpretasi (Blumer, 1969). Objek, situasi, orang dan peristiwa tidak memiliki maknanya yang tersendiri. Ia diinterpretasikan oleh individu yang melihat dan terlibat dalam sesebuah kelompok atau suasana.
No comments:
Post a Comment