Nilai hidup yang baik merupakan prinsip asas dalam pembentukan fikiran dan akhlak dalam Islam. Dalam Islam terdapat banyak nilai-nilai yang murni dan mulia menjadi teras kepada kecemerlangan dan keagungan Islam. Antara nilai-nilai yang sewajarnya dihayati dan diamalkan termasuklah sifat-sifat sabar, bertanggungjawab, berdisiplin, berdikari, bersyukur, ikhlas dan lain-lain lagi. Keupayaan bagi anggota masyarakat dalam menghayati dan mengamalkan nilai-nilai inilah yang menjadi tunggak kepada kecemerlangan kehidupan. Matlamat ini boleh disuburkan menerusi proses pelaksanaan pendidikan yang dilakukan (Sufean, 1995; Gamal, 2003).
Melihat kepada pendidikan di Malaysia, penerapan nilai murni merupakan satu aspek yang mesti diajar dalam pengajaran dan pembelajaran di setiap kurikulum persekolahan. Di peringkat sekolah, dalam membangunkan dan membina minda manusia, nilai murni merupakan asas kepada tujuan tersebut. Pemahaman terhadap aspek-aspek nilai yang baik berkeupayaan untuk membantu pelajar dalam mengatasi masalah kejahilan, kejahatan, kemusnahan, dan seumpamanya. Tanpa pemahaman dan amalan yang serius terhadap nilai murni, krisis moral dalam kalangan pelajar atau remaja akan terus merebak dan selanjutnya memusnahkan perkembangan minda golongan pelajar (Abd. Rahim, 2001).
Penerapan nilai murni di sekolah berhasrat untuk memperkasa daya tahan, daya juang para pelajar dan remaja dalam melalui liku-liku hidup yang sentiasa terdedah kepada gejala-gejala yang tidak sihat. Dengan memahami dan mengamalkan nilai-nilai murni itu, sebarang tindak tanduk, sikap, amalan, pandangan dan pendapat yang bercanggah dengan norma kehidupan masyarakat yang harmoni dan ideal akan berjaya diharungi oleh golongan pelajar yang merupakan sebahagian dari anggota masyarakat. Pelajar atau remaja akan dapat membuat perbandingan dan keputusan ke atas sesuatu perkara dan isu yang melibatkan penentuan baik atau buruk. Terutamanya dalam melakukan sesuatu tindakan dan membuat keputusan (Abd. Rahim, 2001).
Nilai murni perlu dijadikan keutamaan yang mendasari semua bentuk pendidikan di sekolah. Tanpa mengira apakah mata pelajaran yang diajar. Sekolah merupakan sebuah institusi pendidikan yang berusaha menyemai dan menanamkan serta memupuk pertumbuhan rohani dan jasmani pelajar dalam suasana yang bersih dan sihat. Nilai murni merupakan tunggak kepada pembentukan dan pembinaan sahsiah, kekuatan personal, kekuatan moral, sosial dan kerohanian. Ianya bersifat global dan tiada percanggahan dengan nilai-nilai agama, budaya dan norma masyarakat Malaysia.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2003) telah menggariskan kepentingan pendekatan nilai merentasi kurikulum itu adalah berobjektifkan; (i) menanam kesedaran, pemahaman, keyakinan diri dan bekerjasama, (ii) menanam semangat cintakan nilai-nilai suci, (iii) menghormati kebaikan dan membenci keburukan, (iv) membentuk sikap positif yang berguna kepada agama, bangsa dan juga sewaktu menjalankan tugas dan tanggungjawab, (v) menghapuskan sikap negatif dalam kehidupan, (vi) menjalankan amanah dengan dedikasi, (vii) melatih diri dengan disiplin, (viii) meningkatkan hasil atau produktiviti, dan (ix) berusaha untuk mencapai kecemerlangan.
Wan Mohd. Zahid (1993) menjelaskan, insan yang baik merupakan insan yang memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu. Ianya melibatkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara serta sedia berbakti dan berusaha memberi sumbangan yang terbaik kepada kehidupannya.
No comments:
Post a Comment