Pendidikan memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan proses memanusiakan manusia. Pendidikan mestilah dapat menjamin kebahagiaan dan kebaikan kehidupan dunia dan akhirat. Antara matlamat umum pendidikan adalah untuk memberi dan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang membenarkan seseorang individu melihat dunia sebagai sebuah kesatuan di samping memahami dan menghargai nilai-nilai budaya dan warisan bangsa (Gamal, 2003).
Menurut perspektif Islam, Gamal (2003) dan Mohd. Yusof (2004) menyatakan bahawa Islam memahami pendidikan adalah sebagai suatu persediaan roh dan jiwa seseorang untuk menerima pelajaran dan pengetahuan melalui kaedah yang dirancang. Ia mengambil kira faktor asas untuk memberi keupayaan seseorang menunaikan risalah dalam hidupnya. Risalah ini mengandungi tujuan-tujuan untuk kehidupan dunia dan akhirat. Dengan mendasari kepada konsep yang berasaskan Islam, pendidikan akan menjadi lebih syumul dan bertujuan melahirkan insan yang soleh dan beretika dengan tidak mengenal batas masa, tempat dan suasana malah ia menuju kepada kecemerlangan kehidupan dunia dan alam akhirat. Matlamat pendidikan yang unggul ialah keselarasannya dengan objektif kejadian manusia iaitu memahami dan penguasaan ilmu tentang kebesaran Allah S.W.T. dan segala ciptaannya sehinggalah kepada ilmu-ilmu yang memerihalkan tentang kehidupan dan kejadian setelah kematian. Pendidikan juga disifatkan sebagai proses untuk mendapatkan ilmu lebih terarah kepada perkembangan pembawaan dan personaliti pelajar.
Hassan Langgulung (1991) ada menyatakan, pendidikan adalah suatu proses untuk menemukan dan memperkembangkan kebolehan serta suatu proses memindahkan suatu kesimpulan penyelidikan. Ia merupakan satu transaksi memberi dan menerima di antara potensi individu dan budaya dari satu generasi ke satu generasi dengan berlandaskan syariah. Pendidikan sewajarnya dapat menanamkan perangai baik kepada pelajar supaya dapat membuat penilaian di antara perkara-perkara yang benar dan yang salah, serta dapat membezakan perilaku yang baik dengan perilaku yang buruk atau jahat.
Sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Faruqi dan Al-Faruqi (1992) bahawa dengan asas tauhid, setiap idea ditanam dengan kukuh sehingga setiap aktiviti, fikiran, peristiwa dan objek bukan hanya mesti terpengaruh dengannya tetapi juga ditentukan oleh bidang yang lain. Ia dianggap sebagai sebahagian daripada satu sistem yang sempurna dan menyeluruh yang mengatur kehidupan manusia. Ini bermakna, semua bentuk pemikiran dan penghasilan bentuk seni mestilah menganjurkan manusia kepada sesuatu yang benar dan bermakna, indah, harmoni, sempurna, penuh dengan kebijaksanaan yang mempunyai estetika dan beretika. Jelasnya, setiap individu mempunyai fitrah semula jadi yang cinta kepada seni yang menyenangkan hati melalui seluruh pancaindera. Manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cinta kepada sesuatu yang selamat, memuaskan dan memberi kepuasan hati melalui pancaindera rasa.
Proses penghasilan dan penciptaan karya seni atau produk merupakan satu manifestasi pemikiran berasaskan pengalaman pengkarya. Pengalaman itulah merupakan asas yang memungkinkan terzahirnya kreativiti. Kreativiti juga dipengaruhi oleh faktor intrapersonal dan interpersonal. Penjelmaan idea untuk berkreatif bergantung kepada kecerdasan minda atau keintelektualan pemikiran seseorang pengkarya. Kecerdasan daya intelek itulah yang mempengaruhi tindakan, tingkah laku, gaya berfikir, personaliti dan sebagainya dalam domain yang melibatkan kognitif, afektif dan psikomotor (Girl & Chong, 2004).
Followers
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment