IslamiCity.com Apabila membincangkan sebarang aspek peradaban Islam, matlamat yang akhir dan dasar kreatifnya mestilah dilihat sebagai berlandaskan Al-Quran, kitab suci Islam. Budaya Islam sebenarnya “budaya Al-Quran” kerana takrif, struktur, matlamat dan kaedah untuk mencapai matlamat budaya Islam itu semuanya dihasilkan daripada seni penurunan wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam abad ketujuh Masihi. Orang Islam tidaklah sekadar mendapatkan pengetahuan tentang kebenaran hakiki daripada Al-Quran. Perkara yang juga begitu mendesak dan memaksa adalah idea-idea Al-Quran tentang alam semula jadi, tentang manusia dan semua makhluk hidup yang lain, tentang pengetahuan, tentang institusi sosial, politik dan ekonomi yang diperlukan bagi mengendalikan masyarakat yang sihat. Pendeknya, semua ini meliputi setiap cabang pembelajaran dan aktiviti kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa dalam Al-Quran yang terdiri daripada 114 surah, terdapat prinsip-prinsip asas bagi keseluruhan budaya dan peradaban. Tanpa wahyu tentang prinsip-prinsip asal itu, budaya tidak dapat dibangunkan. Tanpa wahyu itu juga, mungkin tidak akan ada agama Islam, negara Islam, falsafah Islam, undang-undang Islam, masyarakat Islam mahupun organisasi politik dan ekonomi Islam. Seni peradaban Islam perlu juga dilihat sebagai pernyataan estetik yang berasaskan Al-Quran. Aspek budaya Islam ini harus dilihat sebagai mempunyai sifat-sifat Al-Quran dari segi asas dan motivasi. Begitulah juga seni peradaban Islam haruslah dilihat sebagai ungkapan estetika yang sama bentuknya dalam pelaksanaannya. Sesungguhnya kesenian Islam adalah kesenian Al-Quran. al-Faruqi. (1992). Atlas Budaya Islam.
QuranExplorer.com
rumah anak yatim
tanah impian

Followers

Friday, 3 July 2009

Buat tatapan umum

Untuk semua termasuk aku sendiri...
(Talkin ini mengingatkan bahawa semua yang berlaku dalam kehidupan merupakan ujian Allah. Maksud talkin yang selalu dibaca selepas orang yang meninggal dunia siap dikebumikan).
*sebut nama sendiri dan bin/binti ibu sendiri.
.................................
Dengan Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang,
Maha Suci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam,
Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa.
Maha Suci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.

Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup. Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala, Ialah Tuhan yang Maha Besar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap Allah Taala.

Wahai *AKU Bin IBU KU,
wahai *AKU Bin IBU KU,
wahai *AKU Bin IBU KU,
hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat.
Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Ingatlah wahai *AKU Bin IBU KU,
apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai *AKU Bin IBU KU,
bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala. Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu.

Mereka bertanya:
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?
Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah takut dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.

Hendaklah kamu jawab begini:
Allah Taala Tuhanku,
Muhammad SAW nabiku,
Islam agamaku,
Kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku,
malahan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan,
mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.

Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku,
bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap:
"La ila ha illallahMuhammaddurrasulullah..

Wahai *AKU Bin IBU KU tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai *AKU Bin IBU KU,
bahawasanya mati ini adalah benar,
soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar,
bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar,
berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar,
dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar,
minum di kolam air nabi adalah benar,
ada syurga dan neraka adalah benar,
bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya,
begitu juga Tuhan yang Maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.
Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu.

Kami sekalian berdoa mudah mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalin walham dulillahi rabbil alamin. Setiap yang bernafas, pasti akan mati – "Kullu nafsin za iqatul maut"

Firman Allah SWT,
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran."
(Surah Al A'sr)

Dari Abdullah bin 'Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
"Sampaikanlah pesanku walaupun satu ayat..." Firman Allah : "Dialah (Allah SWT) yang mentakdirkan adanya mati dan hidup, - untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Ia Maha Berkuasa lagi Maha Pengampun.”
(Surah al-Mulk ayat 2)

No comments:

Post a Comment