Khairy: Jangan jadikan pelajar bahan ujian PPSMI
Jun 23, 09 4:27pm
Pemuda Umno tidak mahu para pelajar dijadikan bahan ujian dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang menurutnya, jelas mempunyai pelbagai kelemahan yang ketara.
"Sekiranya Kerajaan yakin dengan beberapa kajian yang telah dibuat, maka buatlah keputusan demi kebaikan masa depan anak bangsa kita," kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin dalam blognya hari ini.
Sehubungan itu, katanya, pergerakan itu menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran bahawa keputusan akhir mengenai dasar ini akan diumumkan awal bulan depan.
Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau berkata, Muhyiddin juga mengakui bahawa setakat ini, pencapaian dasar tersebut - yang dimulakan sejak 2003 - adalah nominal yakni tidak memberi impak yang besar dalam penguasaan bahasa Inggeris mahupun pencapaian Sains dan Matematik.
Katanya, pandangan menteri pelajaran itu selari dengan beberapa kajian sebelum ini, termasuklah kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) dengan kerjasama lapan institusi pengajian tinggi tempatan Februari lalu mengenai tahap kompetensi guru dalam PPSMI serta implikasinya terhadap pembangunan modal insan.
Kajian itu, katanya, berasaskan sampel dari 553 orang guru dan 15,089 pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar, termasuk Sekolah Kebangsaan Orang Asli.
PPSMI rugikan murid
"Dari aspek keupayaan perlaksanaan dasar, kajian itu mendapati ramai lagi guru yang belum layak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di mana 39.3 peratus guru (74) sekolah rendah dan 25.3 peratus guru (93) sekolah menengah gagal dalam Penilaian Tahap Profisiensi Bahasa Inggeris.
Menurut Khairy lagi, dari segi status pelaksanaan PPSMI dan sumbangannya terhadap peningkatan penguasaan dan pencapaian Bahasa Inggeris murid-murid pula, PEMBINA mendapati:
Sekolah rendah: Sumbangan dan korelasinya adalah rendah bagi mata pelajaran Sains, iaitu ia hanya berjaya menyumbang meningkatkan bahasa Inggeris sebanyak 0.7 peratus sahaja. Sementara bagi Matematik, tiada sumbangan terhadap peningkatan bahasa Inggeris.
Sekolah Menengah Aliran Sastera: Bagi mata pelajaran Sains dan Matematik sumbangan dan korelasinya rendah. Di mana bagi Matematik hanya berjaya menyumbang peningkatan bahasa Inggeris sebanyak 1.0 peratus dan 0.6 peratus bagi Sains.
Sekolah Menengah Aliran Sains: Hanya dua mata pelajaran sahaja yang menunjukkan ada korelasi dan sumbangan rendah, iaitu Kimia 2 dan Matematik Tambahan. Di mana, jumlah kedua-dua mata pelajaran ini hanya menyumbangkan sebanyak 0.9 peratus, iaitu 0.6 peratus bagi Kimia 2 dan 0.3 peratus bagi Matematik Tambahan.
Menurut Khairy, kajian PEMBINA juga mendapati pelaksanaan PPSMI menyebabkan kerugian berganda kepada murid-murid, terutama kepada kira-kira 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori sederhana dan lemah di dalam ketiga-tiga mata pelajaran, iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Kelayakan masuk Universiti
"Ini dibuktikan dengan analisa sampel terhadap keputusan peperiksaan yang diambil ke atas 5,590 murid tahun 5, kohort 2 (2004) dari 56 SK seluruh negara, menunjukkan pencapaian mereka semakin merosot, malah ada yang dengan drastik merudum apabila mereka naik ke tahun yang lebih tinggi, iaitu di Tahun 2 (2005), Tahun 3 (2006), Tahun 4 (2007), Tahun 5 (2008) dan dijangkakan berterusan di Tahun 6 (2009)," katanya.
Menurutnya, Pemuda Umno juga juga bersetuju dengan penjelasan Muhyiddin bahawa pendekatan terbaik bagi penguasaan bahasa adalah dengan menambahbaik pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut.
"Oleh itu, Pemuda Umno menyokong penuh syarat wajib lulus Bahasa Inggeris di peringkat SPM, dengan syarat adanya tenaga pengajar terlatih dan berkelayakan bagi bahasa tersebut yang cukup bagi memenuhi keperluan pelajar.
"Kesungguhan ini juga diterjemahkan dengan saranan Pemuda Umno agar kerajaan menetapkan tahap pencapaian minimum dalam ujian MUET (Malaysian University English Test) bagi kelayakan masuk ke universiti tempatan bagi meningkatkan usaha pelajar meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris mereka," katanya.
Bagi Pemuda Umno, tegas Khairy, pendekatan dan preskripsi polisi yang sesuai dengan masalah dan cabaran amatlah penting, terutama apabila ia menyentuh aspek pendidikan, yang memberi kesan dan impak besar kepada para pelajar.
Sesungguhnya, keputusan dan pertimbangan analisis untung-rugi halatuju PPSMI haruslah ditangani dengan objektif dan menyeluruh kerana ia bukannya untuk mengukir nostalgia lampau tetapi untuk membentuk halatuju dan masa depan modal insan negara.
(Malaysiakini).
No comments:
Post a Comment