Selain dari memiliki dan menguasai ilmu-ilmu yang melibatkan metodologi pengajaran dan pembelajaran, memiliki sifat didik atau mendidik, memupuk kesegaran peribadi dan sahsiah pelajar adalah menjadi keutamaan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang guru yang berkesan dan profesional dalam tugasnya (Awang Had Salleh, 1998). Beliau juga menyatakan bahawa guru yang profesional ialah guru yang berilmu dalam bidangnya (menguasai pengetahuan isi kandungan kurikulum), guru yang mempunyai kemahiran, berketerampilan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (menguasai pengetahuan pedagogi), dan guru yang mempunyai sahsiah yang boleh menjadi contoh teladan dan ikutan kepada pelajarnya.
Secara khusus, dalam konteks guru Pendidikan Seni Visual, Awang Had Salleh (1998) juga menyatakan kewajaran yang perlu ada kepada guru tersebut ialah; (i) menghayati seni secara ikhlas dan mendalam, dan termaklum pula dalam hal-hal latar mengenai seni, (ii) bersikap seni dalam minda dan pemikiran mereka serta dalam keyakinan mereka, dan mereka tidak bersikap pura-pura mengenainya; tetapi memanifestasikan sikap seni mereka itu dalam perlakuan dan tingkah laku mereka, (iii) berkeupayaan mempergunakan setiap kemungkinan; sama ada di dalam dan di luar pengajaran, di dalam dan di luar bilik darjah atau bilik kuliah – untuk menarik perhatian pelajar dan membangkitkan kesedaran mengenai kehadiran sesuatu aspek seni dalam mana-mana suasana yang memungkinkan, dan (iv) mereka tidak boleh dan tidak wajar mengatakan bahawa pembinaan deria seni dalam jiwa murid atau pelajar mereka adalah di luar bidang tugas mereka sebagai guru mata pelajaran (bukan seni).
Peranan guru yang profesional akan turut berubah apabila berlakunya perubahan ilmu yang pesat, perubahan ekonomi dunia yang kompetitif, tuntutan masyarakat pasca perindustrian, perubahan dalam aspirasi negara, tuntutan globalisasi, cabaran-cabaran sosiopolitik, dan tuntutan ibu bapa atau masyarakat.
Cruickshank (1980) menyatakan kriteria guru yang baik adalah guru yang sentiasa memberi yang terbaik dan menunjukkan sifat yang terbaik menerusi keterampilan diri dan peribadi, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ilmu dan amali, sentiasa mahu meningkatkan diri dan mendorong pelajar untuk berjaya. Bagi beliau ciri-ciri yang ada di dalam diri seseorang guru sama penting dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki oleh individu untuk digelar sebagai guru yang baik.
Manakala Anderson (1989) dan Joyce et., al. (2004) pula ada menyatakan tentang beberapa aspek guru yang berkesan, iaitu (i) berusaha mencapai matlamat akademik dan sosialisasi, (ii) menguasai isi kandungan pelajaran yang disampaikan dengan mendalam, (iii) menyampaikan penerangan atau berkomunikasi dengan jelas, (iv) melatih pelajar untuk memproses maklumat berasaskan model-model tertentu, (v) membetulkan salah faham dalam kalangan pelajar, (vi) memperkembangkan pengalaman pelajar, dan (vii) membuat refleksi dan meningkatkan strategi serta kaedah terhadap pengajaran yang disampaikan.
Guru merupakan model atau contoh insan yang berbudi dan berakhlak tinggi serta merupakan paksi kepada sistem pendidikan. Guru-guru sewajarnya lebih bersifat mesra dan penyayang. Ini bermakna, peranan guru dalam merancang dan melaksanakan pengajaran berasaskan nilai-nilai yang baik adalah merupakan tugas utama dan sewajarnya berkaitan dengan masyarakatnya.
Michael (1983) juga ada menyatakan sebagai seorang guru yang bertanggungjawab melaksanakan dan merealisasikan misi dan objektif program yang melibatkan Seni Visual yang berfokus kepada pembelajaran dengan pelajar, maka personaliti guru turut menjadi sebahagian daripada pertimbangan dalam pelaksanaan dan kejayaan pengajaran.
Banyak kajian yang seumpamanya oleh Hart (1934); Witty (1947); Cogan (1958); Flanders (1960); Heil, Powell dan Fiefer (1960); Edmonston (1962); Spaulding (1963); dan Olson (1971) dalam Michael (1983) merumuskan kriteria guru yang mempunyai sikap dan sifat yang efektif boleh dijelaskan sebagai; (i) keupayaan untuk mengurus pengajaran dan menjadikan proses pengajaran sesuatu yang aktif dan suatu proses berterusan tanpa hujung, (ii) bersedia untuk mengkaji, bersikap terbuka, mengambil sesuatu yang tidak diketahui sebagai cabaran, bukan sesuatu yang menakutkan atau menyusahkan, (iii) sentiasa bersemangat dan memahami keperluan setiap pelajar dengan sabar, (iv) fleksibel, berkeupayaan untuk mengadaptasi apa jua situasi, (v) sentiasa memikirkan dan bertindak berdasarkan pandangan pelbagai perspektif, (vi) sensitif, sentiasa cuba meningkatkan tahap kepekaan pelajar, (vii) bersikap menghargai sesuatu, menunjukkannya dengan anggukan, komen dan senyuman, (viii) sentiasa mewujudkan suasana merangsang pelajar ke arah sesuatu yang lebih mencabar, (ix) peramah, baik hati dan penyayang tetapi dalam masa yang sama mempunyai ciri-ciri tegas dan teratur, (x) sentiasa mempunyai idea-idea baru dan sering menyoal pelajar dengan soalan yang mencabar minda (agar pelajar terus berfikir), (xi) berkemahiran dalam bidangnya, (xii) mempunyai pengetahuan yang luas dalam subjeknya dan bidang-bidang berkaitan serta sentiasa menunjukkan ciri-ciri kredibiliti, dan (xiii) adil dan fleksibel dalam melakukan penilaian.
(Disertasi Ph.D.)
Aku ingin menarik perhatian korososo mengenai pandangan Ahmad Baktiar, penulis dan pensyarah SITC, katanya jadilah kamu seorang guru, jalannya seorang guru duduknya seorang guru,tuturnya seorang guru dan makannya seorang guru. Dapatkah kita lahirkan guru-guru lepasan UPSI sebegini?
ReplyDelete...jangan berhenti berdoa' pak...itu jadinya melalui 'proses' pak...bukan boleh dilihat hanya melalui LM.
ReplyDelete